09 July 2020

"MUNGKIN 20 PERATUS TAK SUKA SAYA" - FATHIA SYUKUR PELUANG KEDUA BERLAKON, ENGGAN FIKIR 'HATERS'



"Alhamdulillah... selepas hampir dua tahun saya diberikan peluang dan rezeki untuk berlakon semula. Walaupun dah lama tak masuk set penggambaran tapi perasaan kekok tak ada. Mungkin sebab saya dah kenal semua kru produksi dan barisan pelakon pun sangat best.



"Saya nak perbaiki lakonan supaya jadi lebih baik," demikian kata pelakon dan penyanyi Fathia Latiff yang meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk berlakon semula selepas mengumumkan dirinya sudah kembali berhijab.

Biarpun hampir dua tahun tidak memasuki set penggambaran, Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 33, berkata dia tidak berasa kekok bekerjasama dengan kru produksi dan barisan pelakon drama 'Dayang Senandung'.

Klik untuk gambar besar

Malah, Fathia turut memuji dua pelakon utama drama kontroversi tersebut iaitu Wani Kayrie dan Scha Elinnea yang mempunyai bakat besar dalam dunia lakonan: "Saya tak sangka pelakon baru seperti Wanie dan Scha berbakat besar dalam dunia lakonan. Lakonan mereka lagi bagus daripada saya yang dah bertahun-tahun dalam bidang itu," ujar Fathia.

Sebelum ini, pelakon telefilem 'Kipas Belum Mati' itu berkongsi keterujaannya dapat menjalani penggambaran bersama kru produksi dan barisan pelakon drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu di laman sosial miliknya.

Pengumuman Fathia sudah kembali berhijab pada Jun lalu mendapat penerimaan yang baik daripada peminat, dia turut memadam semua foto tidak memakai tudung di akaun Instagram miliknya. Dalam pada itu, penyanyi lagu 'Jika Aku Tahu' ini memberitahu dia enggan memikirkan tanggapan buruk netizen memandangkan masih ramai lagi peminat yang menghargai dirinya.


Menurut Fathia, dia menganggap semua yang terjadi sebelum ini hanya kisah silam dan kini mahu memberi tumpuan kepada kehidupannya di masa hadapan: "Saya memang bersyukur dengan penerimaan yang sangat baik daripada peminat. Bagi saya, mungkin hanya 20 peratus sahaja orang yang tidak menyukai saya. Jadi, buat apa saya fokus perkara yang negatif.

"Lebih baik saya hargai dan fokus kepada orang yang memberi kata-kata positif. Perkara yang terjadi sebelum ini sudah pun berlalu. Saya tidak mahu pandang ke belakang dan apa yang penting adalah kehidupan saya di masa hadapan. Sekarang ini pun, saya lebih fokus kepada perniagaan menjual tudung. Saya mahu teruskan legasi keluarga yang sememangnya sudah lama dalam dunia perniagaaan," ujarnya.

Pada tahun lalu, pelakon drama 'Ariana Rose' ini pernah mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman selepas membuat keputusan untuk membuka tudung. Penampilan Fathia mengayakan pakaian yang menjolok mata dengan berambut pendek ketika sambutan ulang tahun kelahiranya pada September tahun lalu turut mengundang kecaman.





www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Fathia Latiff


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: