29 July 2020

NING BAIZURA 'SUMBANG' LAGU 'PERWIRA' UNTUK TABUNG PAHLAWAN



"Saya berasa cukup terharu apabila menerima undangan dari Ahmad Izham Omar yang sudi mengajak saya berkolaborasi untuk lagu ini. Lagu ini adalah satu tanda apresiasi kami terhadap segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota barisan hadapan di negara kita. Walaupun saya tidak berapa mengenali para pejuang ini dengan lebih dekat, tetapi ingatan saya terhadap pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada penghasilan lagu ini," ujar Aubrey Suwito.

Beliau berkata demikian sempena dengan pelancaran kempen Tabung Pahlawan, di mana Primeworks Studio Sdn Bhd telah berbesar hati melahirkan sebuah lagu istimewa untuk semua perwira di negara kita.



Lagu berjudul ‘Perwira’ itu hasil ciptaan Aubrey Suwito dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar, ‘Perwira’ dinyanyikan oleh Ning Baizura khas untuk kempen Tabung Pahlawan yang bertujuan untuk mengutip dana yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran serta Angkatan Tentera Malaysia.

"Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, akan timbul kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para wira negara dalam memastikan kita hidup dalam aman damai dan sejahtera," kata Ahmad Izham Omar, pula.

Klik untuk gambar besar


"Hasil perbincangan, kami merasakan Ning Baizura layak dan sesuai untuk mengalunkan ‘Perwira’. Kami percaya Ning mampu untuk menghidupkan lagu ini. Kebolehan beliau dalam mengekspresikan lagu dengan begitu indah, menyentuh hati dan perasaan dengan penjiwaan yang mendalam memang tidak dapat dinafikan. Kami begitu teruja apabila Ning menerima lamaran kami untuk menyanyikan lagu ini," tambahnya.

‘Perwira’ boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020 lalu.





         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: