04 July 2020

TO'KI TAK MAHU JADI IBARAT ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG - ISTERI: KEADAAN KAMI TIDAKLAH TERLAMPAU TERUK... KAMI BUKAN ORANG SUSAH"


Penyanyi dan komposer terkenal era 90-an, To'ki memberitahu yang dia enggan jadi ibarat anjing dengan bayang-bayang, takut kelak akan rugi. To'ki berkata demikian berhubung tawaran bantuan yang diterima selepas kisahnya tular baru-baru ini. Jelas To'ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur, 53, kehidupan dia dan isteri, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, tidaklah seburuk yang disangka ramai.





"Saya bahagia... saya seronok tinggal di sini. Langsung tak pernah meminta apa-apa sumbangan dan ihsan daripada mana-mana pihak. Tapi mungkin kerana orang tengok keadaan begini yang serba kekurangan jadi timbul rasa kasihan terhadap kehidupan saya," ujar To'ki.

Baru-baru ini kisah kehidupan To'ki heboh diperkatakan ramai selepas tular foto pondok usang yang didiaminya bersama isteri di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, Selangor. Bercerita lanjut tentang bantuan, To'ki mengakui ditawarkan pelbagai sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk wang dan rumah.

Namun kata To'ki dia hanya bersetuju untuk menerima sebuah rumah daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Susulan itu dia menjelaskan enggan menerima wang zakat kerana mahu bantuan itu disalurkan kepada individu lain yang lebih memerlukan.

Klik untuk gambar besar


"Saya bersyukur PPZ akan menyediakan rumah yang lebih selesa dalam masa terdekat. Tapi saya tak nak jadi ibarat anjing dengan bayang-bayang, ada juga bantuan yang saya terpaksa tolak, cukuplah sekadar ada keperluan asas," kata To'ki lagi.

Sementara itu, isteri To'ki yang mesra dipanggil Fairuz tidak pernah menganggap keadaan itu suatu kekurangan, biarpun tempat berteduh tidak sempurna di mata orang. Luah Fairuz, pondok kecil itu tetap indah di matanya.

"Usahlah tulis tempat tinggal kami pondok usang. Mengapa tidak menyatakan ia pondok yang indah. Keadaan kami tidaklah terlampau teruk walaupun rumah kecil tapi indah. Kami bukan orang susah, tidak cukup makan atau keperluan. Memang kami bukanlah orang kaya, tapi apa yang ada mencukupi," katanya.



Selepas berita kehidupan To'ki atau nama sebenar, Mohd Zaki Mansur, tular, Fairuz tidak terlepas terkena tempias. Sejak tiga hari lalu, Fairuz memberitahu, dia dihujani panggilan telefon dan mesej, tidak kira daripada ahli keluarga, saudara-mara, malah rakan-rakan lama.

"Bayangkan, jiran rumah lama yang tidak tahu menahu mengenai kisah saya sebelum ini menghubungi. Saudara-mara pun ramai yang telefon bertanya. Jujurnya, malu pun ada, sehingga saya tidak menjawab panggilan telefon. Bukan apa, ramai yang menghubungi menyatakan hasrat untuk datang menghantar sumbangan.

"Saya hargai sikap prihatin itu. Tapi kami bukanlah orang susah yang tidak cukup makan... Alhamdulillah, semuanya mencukupi. Saya rasa macam nak pekakkan telinga pun ada dan tidak mahu membaca mesej yang diterima," tuturnya.



Tidak dinafikan, sehingga petang tadi, pondok mereka tidak putus-putus dikunjungi orang ramai. Ada yang datang untuk bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan seperti barangan keperluan. Bagaimanapun, wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini akur tumpuan diterima kerana suami yang dikenali ramai. Biar apapun, Fairuz bersyukur atas keprihatinan semua pihak.

Melihat keadaan dirinya yang bertongkat berikutan kemalangan pada 10 Jun lalu, Fairuz berkata, dia sukar berjalan selepas tulang pinggulnya patah: "Disebabkan itu, ligamen saya lari. Kaki saya sukar untuk berpijak.

"Doktor nasihat kalau mahu tulang pinggul kembali bercantum, kaki saya tidak boleh jalan bertapak tiga bulan. Bulan depan, saya ada pertemuan dengan doktor. Dia akan teliti sama ada saya perlu jalani fisioterapi atau tidak," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: