28 August 2020

SITI SARAH BERI BANTUAN RAWATAN MATA - ALINA HASSAN SEBAK, LUAH SYUKUR



Semua sedia maklum mengenai keadaan penyanyi Alina Hassan, 52, dimana dia mengalami masalah penglihatan mata kanan yang tidak dapat digunakan kerana selaput mata atau katarak.

Dek kerana itu, penyanyi Siti Sarah bermurah hati cuba memulihkan masalah penglihatan mata kanan Alina di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre, pada Khamis. Alina tidak dapat menahan sebak selepas bertemu dengan isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu itu.

Alina ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas rahmat dan rezeki yang diterimanya memandangkan dia sebelum ini turut berikhtiar mengumpul wang demi menyelesaikan mata mata yang dihadapi sejak sembilan tahun lalu. Difahamkan, proses rawatan untuk membuang katarak pada mata penyanyi berkenaan akan dilakukan minggu hadapan.

"Saya tidak percaya dan tidak terkata-kata. Bila dapat mesej daripada pihak pengurusan Sarah, saya tanya betul ke? Sehinggakan saya turut tanya pada rakan, betulkah ini? Sarah memang suka tolong orang, tengoklah rezekinya.

Klik untuk gambar besar


"Ya Allah... Saya rasa bernasib baik dapat kenali Sarah meski hanya menerusi program Mentor Otai tidak lama dulu. Rasa bersyukur sangat, gembira tak terkira sebab... Memang saya ada perancangan untuk ubati masalah katarak mata," jelasnya.

Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 ini menambah, dia mengalami masalah tersebut pada kedua-dua belah bahagian mata dan sudah pun melakukan rawatan pembuangan katarak pada mata kirinya tiga tahun lalu.

"Kedua-dua belah mata saya alami katarak sekitar tahun 2011 lalu ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan di KLCC.Ketika itu baru perasan mata saya macam ada selaput. Makin lama makin teruk sehinggalah sertai program Kilauan Emas. Bila ada rezeki lebih, saya lakukan proses membuang katarak di sebelah mata kiri pada tahun 2017," katanya.


Sementara itu, Sarah yang turut setia menemani Alina pada sesi awal rawatan turut mendoakan agar proses tersebut dipermudahkan. Dalam sebak, isteri kepada Shuib Sepahtu itu turut menyatakan akan kepentingan menjaga pancaindera.

"Semoga urusannya dipermudahkan. InsyaAllah jika penglihatannya lebih baik, banyak perkara lain yang dia boleh lakukan selepas ini. Saya doakan moga dia berjaya dunia akhirat.

"Saya sebak sebab bila melakukan sesi ini dan bertemu dengan Prof Muhaya, kita semua yang berada di sini mungkin akan lebih sedar, betapa pentingnya sepasang mata.

"Dengan matalah kita nak membaca ayat suci al-quran bersama segala kebaikan yang lain. Saya doakan prosedur pembedahannya minggu depan dipermudahkan dan moga kesihatannya juga bertambah baik, insyaAllah," harap Sarah.




www.myartis.com / Sumber: Media Hiburan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: