26 September 2020

AL-FATIHAH - PELAKON WATAK MILAH DALAM 'DO RE MI', WAN CHIK DAUD DIJEMPUT ILAHI



Pada jam 10 pagi tadi, pelakon dan bekas pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Wan Chik Daud disahkan meninggal dunia pada usia 80 tahun di kediamannya di Lembah Keramat, Kuala Lumpur, akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk kanser payu dara.

Selain penyakit kanser payu dara tahap empat, balu kepada Allahyarham M Rajoli itu turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lumpuh.

Berita pemergiannya disahkan pembantunya, Fauziah Abd Rahman. Fauziah berkata, Wan Chik meninggal dunia atas pangkuannya, pagi ini.

"Hanya kami berdua berada dalam rumah. Sudah menjadi rutin saya akan menyiapkan arwah dan memberinya susu serta makan, setiap pagi. Bagaimanapun, saya melihat keadaannya agak berlainan. Arwah hanya merenung jauh dan nafasnya berbunyi lain macam.

Klik untuk gambar besar


"Melihatkan perubahannya, saya terus mengajarnya mengucap. Bagaimanapun, nafasnya terhenti tidak lama kemudian. Saya segera memanggil jiran dan menghubungi ambulans. Arwah disahkan sudah tiada oleh pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan," katanya.

Fauziah berkata, dia menjaga Allahyarham Wan Chik sejak 2013. Dua tahun lalu, Allahyarham dilaporkan mengalami serangan angin ahmar ringan selepas pemergian Allahyarham M Rajoli pada 2010.

Berita duka itu turut dimaklumkan oleh anak lelakinya yang dikenali sebagai Shaizar menerusi kiriman mesej yang dihantar kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).


"Kami baru dikhabarkan pihak keluarga bahawa Wan Chik Daud meninggal dunia sebentar tadi," tulis mesej tersebut.

Difahamkan, gara-gara derita penyakit itu, Wan Chik hanya terbaring dirumah dan tidak mampu menguruskan diri. Selepas dua tahun kematian suaminya pada tahun 2010, arwah mengalami serangan angin ahmar ringan.

Penderitaan Wan Chik mendapat perhatian beberapa pihak antaranya YKAT dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang melakukan kunjungan ke rumahnya awal tahun ini.


Allahyarham mempunyai empat orang anak, difahamkan dua daripadanya menetap di Amerika Syarikat serta Singapura, manakala dua lagi di Kuala Lumpur.

Jenazah kini berada di rumahnya yang terletak di Lembah Keramat, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan, petang ini.

Filem 'Do Re Mi' merupakan filem pertama lakonan Wan Chik Daud dan telah melonjakkan namanya antara pelakon wanita terawal berlakon dalam filem arahan Tan Sri P. Ramlee ketika zaman kegemilangan Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

Kemudiannya, Wan Chik Daud meneruskan kerjaya sebagai penyampai berita RTM hingga bersara. Bekas Ratu Kebaya Pulau Pinang ini berkahwin dengan M Rajoli pada tahun 1986 sehinggalah pelakon legenda itu menghembuskan nafas terakhir pada 17 September 2010.


www.myartis.com / Sumber: mStar & Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: