"Semestinya sangat bersyukur memandangkan kami bukan siapa-siapa. Kini kami sudah ke pentas antarabangsa pula. Tidak terjangkau akal bahawa suatu hari nanti kami akan dicalonkan untuk MTV EMA.
"Sudah dapat dicalonkan pun sangat membanggakan buat kami dan ia terlalu besar. Semoga peminat akan menyokong serta mengundi kami dalam misi menggenggam trofi berprestij itu," ujar kumpulan hip hop popular tempatan, K-Clique.
Ia berikutan mereka berjaya melakar sejarah tersendiri apabila dicalonkan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) yang bakal berlangsung 8 November 2020.
"Pengiktirafan tersebut sangat besar memandangkan kami adalah pendatang baharu dalam industri muzik tempatan dan kami tidak menyangka akan berada di pentas antarabangsa pula.
"Fokus kami hanya mahu menghasilkan muzik terbaik dan berkualiti. Kami melakukannya dengan seikhlas hati dan menyerahkan kepada pendengar sama ada mahu menyukainya atau tidak," jelas salah seorang anggotanya, Somean.
Klik untuk gambar besar
Bagaimanapun, kemungkinan K-Clique memenangi anugerah itu agak sengit apabila artis Indonesia yang mempunyai jutaan peminat iaitu Agnez Mo turut tercalon. Selain itu, antara selebriti Asia Tenggara lain yang turut sama berentap adalah Ben & Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam).
Untuk makluman, sebelum ini penyanyi rap Joe Flizzow yang mewakili negara ini mencipta sejarah memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.
Dia berjaya menewaskan Afgan dari Indonesia; IV of Spades (Filipina); Minh Hang (Vietnam); Slot Machine (Thailand); The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).
________________________

No comments:
Post a Comment