16 January 2021

KONTAK RAPAT INDIVIDU POSITIF COVID-19 - HAQIEM RUSLI BUAT UJIAN SARINGAN, TAWAKAL



"Saya membuat ujian calitan di sebuah klinik di Cheras sambil ditemani bapa, hari ini. Keputusan hanya akan diketahui dalam tempoh dua hari. Sekarang, saya berehat dalam bilik di rumah, sambil menunggu keputusan ujian calitan. Apapun terjadi, saya tawakal sahaja.

"Harapnya tiadalah berita tidak baik mengenai keputusan ini nanti," jelas penyanyi dan komposer Haqiem Rusli, 23, yang mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat ujian saringan COVID-19 selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada seorang individu yang disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 (ABPBH 33) itu berkata, dia tidak mengambil mudah dalam isu keselamatan dan kesihatan. Penyanyi lagu 'Mimpi' itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang simptom atau tanda jangkitan pandemik COVID-19.

Klik untuk gambar besar



"Kali terakhir saya bertemu individu berkenaan sewaktu majlis pelancaran, Jumaat lalu. Sekalipun tiada tanda atau simptom, saya kena bertanggungjawab dan tak mahu mengambil risiko. Lagi pula, kes jangkitan pandemik COVID-19 semakin meningkat sekarang," katanya.

Katanya, dia sedaya upaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga penjarakan fizikal: "Saya takut apabila harus melalui proses ini. Lebih cuak menunggu keputusan ujian calitan. Inilah kali pertama membuat ujian calitan dan agak menyakitkan pada saat dimasukkan tiub ke dalam rongga hidung," ujarnya.

Dalam pada itu, artis naungan FMC Music itu berharap masyarakat terus menjaga diri dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar: "Kita harus bertanggungjawab atas diri dan orang yang tersayang," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Haqiem Rusli

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: