23 March 2021

HIDAP KANSER PAYUDARA, RAMBUT ISTERI MULA GUGUR - NIZAM LAKSAMANA CUBA KUAT



"Di depan dia saya memang kuat. Namun, apabila dia tiada pelbagai perasaan mula datang dan saya rasa seperti satu balak yang begitu berat menghentam diri saya. Isteri sedang diuji dengan masalah kesihatan. Dia kuat dan saya juga kena kuat.

"Ketika itu rambutnya masih panjang dan lebat tapi sudah mula gugur. Saya potong pendek dan semalam dia pun perasan rambutnya makin lama makin berkurangan.

"Yang pendek pun sudah mula gugur di kolar baju dan dia rasa gatal-gatal. Saya tengok rambutnya makin kurang. Dia akhirnya minta saya botakkan kepala. Saya sebenarnya tak sanggup nak botakkan kepalanya, tapi dia kata okay.

Klik untuk gambar besar

"Jadi saya pun cukurlah rambutnya, tapi rasa kasihan tengok setiap kali cukuran menampakkan kulit kepala," itulah kata-kata penyanyi Nizam Laksamana, 55, yang mengakui terpaksa menguatkan diri untuk tidak menunjukkan kesedihan di depan isterinya, Salwati Zulkifli, 46, yang menghidap kanser payudara.

Nizam berkata, perkara ini perlu dipraktikkan supaya emosi isterinya tidak terganggu. Menurutnya, enam hari lalu, dia memotong rambut isterinya yang mula gugur kesan rawatan kemoterapi yang pertama.

Bekas peserta program Gegar Vaganza musim ke-2 (GV2) berkata, dia bertanya isterinya sekiranya sakit tetapi isterinya menjawab semuanya okay.


"Saya sukar sembunyikan perasaan sedih kerana isteri banyak berkorban untuk saya. Rambutnya yang lebat sudah tiada dan kepalanya sudah botak tapi dia masih lagi kuat. Saya tak kuat sebenarnya apabila melihat keadaannya. Berat badan dia asalnya 62 kilogram (kg) dan kini turun 59kg," tuturnya.

Nizam berkata, dia masih menanti jawapan dari Jabatan Sosial Hospital Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhubung permohonan untuk mendapatkan bantuan berjumlah RM21,000 bagi membiayai kos perubatan isterinya.

"Setakat ini belum lagi, tapi saya ada sedikit simpanan untuk tujuan itu. Ada juga rakan-rakan rapat datang membantu memberi zakat simpanan mereka kepada isteri. Saya terima sebab mereka jelas dengan tujuan mereka," jelasnya yang meminta semua pihak terus mendoakan kesihatan isterinya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Nizam Laksamana

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: