02 April 2021

MASUK HOSPITAL - RINGGO ARROW ALAMI MASALAH JANTUNG BENGKAK & BERAIR



"Saya selalu sibuk buat 'live' di media sosial dan menyanyi di sana sini. Makin lama, makin semput dan seperti susah nak bernafas. Malah, jika nak tidur pula kena dalam keadaan duduk dan tak boleh baring. Semalam, saya buat urutan dan terus tak boleh tidur langsung.

"Ikutkan dah 10 hari, saya tak boleh tidur dengan betul dan itu yang buat saya ambil keputusan ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan," kata vokalis kumpulan Arrow yang pernah popular dengan lagu 'Aku Tak Marah', Ringgo, 51, kini menerima rawatan di wad Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan akibat masalah jantung bengkak dan berair.

Ringgo atau nama sebenarnya Mohd Zain Ramli dihubungi berkata, dia mendapatkan rawatan di hospital terbabit mulai semalam selepas berdepan masalah kesukaran tidur. Menurut Ringgo, doktor juga memberitahu gejala kurang tidur yang dihadapi turut menyebabkan darahnya cepat naik.

"Jantung saya pun bengkak akibat kuat merokok. Jadi, doktor buat keputusan tahan saya di wad dan beri ubat untuk kerap buang air kecil. Ia supaya air yang berlebihan dalam jantung saya berkurangan. Kalau air terlalu banyak dalam jantung, itu yang buat saya jadi susah nak bernafas.

"Malah, keadaan saya pun seperti orang yang ada penyakit lelah. Duduk, berdiri serba tak kena. Ketika buat urutan, saya diberitahu jantung memang ada masalah dan bila buat imbasan sinar X, didapati jantung dah bengkak," ujarnya.

Bagaimanapun, Ringgo memaklumkan dia tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum ini serta tidak juga mengambil apa-apa jenis ubat. Ditanya juga operasi gerai roti canainya, Ringgo berkata kini semuanya diuruskan buat sementara waktu oleh anak lelakinya yang selalu membantu.

"Dah jadi kebiasaan, saya sihat saja selama ini dan jarang pula sakit. Tapi, bila sekali dah sakit nampaknya akan ambil masa berbulan untuk sembuh," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: