04 April 2021

SEKITAR MAJLIS RESEPSI - SYAMEL & ERNIE MAHU ANAK CEPAT JIKA ADA REZEKI



Pada malam Sabtu, pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri telah mengadakan majlis resepsi bertemakan konsep formal 'Black Tie' yang diadakan di Bayswater, KLCC dengan dihadiri kira-kira 250 orang tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Baru seminggu bergelar suami, Syamel atau atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 28, berkata hidupnya kini lebih bermakna apabila mempunyai seorang isteri untuk berkongsi saat suka dan duka menjadi tempat untuk dia meluahkan perasaan.

Ujar Syamel yang segak mengenakan sut hitam rekaan Shanell Harun, dia bersyukur apabila dikurniakan seorang isteri yang sempurna seperti Ernie atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 29.

"Berkongsi segalanya kegembiraan, kedukaan dan kesedihan... semua dikongsi bersama. Saya beruntung dianugerahkan seorang isteri yang pada saya cukup sempurna di mata saya.



"Saya berdoa agar kesempurnaan itu saya nampak hingga ke akhir usia, sampai ke jannah. Saya minta anda doakan kami berdua agar dijauhkan daripada segala musibah dan sentiasa diberkati serta diredai Allah," katanya.

Bercerita mengenai anak, pasangan ini menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. Menurut Syamel, dia dan Ernie tidak merancang apa-apa, sebaliknya mendoakan agar semuanya dilancarkan.

"Saya sudah masuk 29 tahun. Kalau boleh, doakan agar kami dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. Kalau ada rezeki (anak), kami terima dengan hati terbuka," ujar Ernie.



"Kami tak ada merancang atau menyekat apa-apa. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Saya doakan agar semuanya diberikan kelancaran," tutur Syamel pula.

Pada majlis itu juga, Syamel dan Ernie turut menghiburkan tetamu dengan single terbaharu mereka berjudul 'Goodbye Hello'. Sementara itu, Ernie berkata dia juga bersyukur apabila doanya agar dipertemukan jodoh sebelum memasuki usia 30 tahun termakbul.

"Tak sangka sebenarnya saya dah bersuami pada umur 29 tahun, Allah dengar doa saya nak berkahwin sebelum 30 tahun. Alhamdulillah sepanjang seminggu... happy naw naw!" katanya penuh kegembiraan.



Selain dendangan lagu daripada pasangan pengantin, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Anuar Zain, Dina Nadzir serta Aisyah Retno.

Antara rakan selebriti yang turut memeriahkan majlis mereka ialah Awal Ashaari, Scha Alyahya, Ain Edruce, Wany Hasrita, Khai Bahar serta Nabila Razali.

Untuk makluman, pasangan Syamel dan Ernie diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 26 Mac lalu secara tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Pada majlis nikah, Syamel menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang manakala mas kahwin bernilai RM300 serta seutas gelang tangan berlian. Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.


















www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro, Instagram Syamel & Ernie Zakri

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: