09 April 2021

"TAK ADA GUNAKAN KABEL ATAU APA, SAYA BERDIKARI..." - CIK B



Sebut sahaja nama Cik B, pasti ramai mengenali anak kepada jutawan kosmetik iaitu Datuk Seri Vida. Bagaimanapun, ada diantara netizen mendakwa Cik B mengorak langkah dalam industri seni tanah air dengan mengunakan 'kabel'.

Ramai menganggap kehadiran Cik B memegang gelaran sebagai anak seni adalah kerana populariti ibunya. Namun begitu, Cik B tampil menafikan dia menggunakan 'kabel' untuk mengecapi semua itu. Ini kerana katanya, dia bekerja keras dan berdikari untuk mengejar cita-citanya.

"Sebenarnya tidak. Saya tak ada gunakan kabel atau apa. Saya berdikari untuk menempatkan nama saya dalam industri hiburan," jelas Cik B.

Bagaimanapun, Cik atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 16, tidak menafikan bahawa ibu adalah pendorong utamanya.

Klik untuk gambar besar



"Walaupun sekarang saya lebih dikenali berbanding mama, itu tak menjadi masalah. Pada masa sama, saya juga menjadi salah satu pemasaran untuk jenama mama. Apa pun, nama saya dikenali pun atas sebab mama dan dorongan mama," katanya.

Muncul sebagai penyanyi rap, Cik B juga tidak terlepas daripada berdepan kecaman netizen yang mengatakan suaranya tidak cukup bagus.

"Bila orang kecam dan cakap nyanyian rap saya tak sedap didengar, saya sendiri terkejut kerana mama cakap, suara saya bagus. Tipulah kalau saya cakap saya tak rasa tertekan. Tapi, saya terima setiap kritikan itu untuk memperbaiki kekurangan saya," ujarnya.



Dalam perkembangan lain, Cik B kini bergelar duta Lembaran Baharu Astro bersama barisan selebriti lain antaranya Elly Mazlein, Alif Satar, Radin Era, Dina Nadzir dan ramai lagi.

"Rasa bangga juga kerana dalam usia sekarang, saya diberi peluang menjadi duta untuk kempen terbaharu Astro ini. Saya tahu, tak ramai golongan remaja hari ini yang menonton televisyen. Kebanyakan mereka lebih banyak menghabiskan masa di media sosial.

"Jadi, sebagai remaja saya akan gunakan platform digital untuk mempromosikan kempen ini di samping berkongsi mengenai program sepanjang Ramadan bersama mereka," tuturnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Cik B & Datuk Seri Vida

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: