25 April 2021

SINGLE BAHARU, 'LAGU RAYA' - ALIF SATAR TEPIS DAKWAAN AJAK ORANG RAMAI BALIK KAMPUNG



Penyanyi Alif Satar baru-baru ini telah tampil dengan single baharu, 'Lagu Raya'. Namun begitu, Alif telah dituduh mengajak orang ramai balik kampung melalui lagu tersebut ketika kerajaan berusaha menangani penularan pandemik COVID-19. Alif bagaimanapun, menepis dakwaan tidak sensitif itu.

Tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak, Alif atau nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar mempertahankan single berkenaan berunsur positif.

"Saya sedar, dalam situasi sekarang, orang ramai tidak boleh balik kampung dan berjumpa orang tua. Jadi, melalui lirik lagu ini, saya luahkan kerinduan untuk pulang ke kampung. Kalau dengar keseluruhan lagu ini, liriknya tidak meleret-leret dan pendengar mudah menerima mesej disampaikan.

Klik untuk gambar besar



"Disebabkan itu, saya selitkan elemen positif dalam lagu ini. Manalah tahu, suatu hari nanti, apabila semua orang sudah dapat vaksin, kebenaran balik kampung untuk beraya diberikan," katanya.

Alif mahu 'Lagu Raya menjadi' dendangan malar segar: "Saya mahu lagu ini 'evergreen', sama seperti lagu raya yang lain, bukannya didengar pada musim pandemik COVID-19 sahaja," ujarnya.

Alif mengerti perasaan perantau setiap kali menyambut Syawal. Biarpun ibu bapanya menetap di ibu negara, Alif yang juga pengacara baharu Muzik-Muzik 36 faham perasaan perantau jika tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri.



"Biarpun ibu dan ayah saya menetap di sini, datuk, nenek dan saudara-mara saya ada di Pulau Pinang. Sudah bertahun saya tidak bertemu mereka. Jadi, marilah kita berdoa semoga wabak ini segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," tuturnya.

Bercerita mengenai rutin dalam bulan puasa, penyanyi berusia 30 tahun ini mengaku jadual kerjanya cukup padat: "Selepas kira-kira lapan tahun saya berehat pada Ramadan, kali ini saya terpaksa bekerja.

"Ketika mula melihat jadual, saya terkejut kerana selama ini, saya memilih untuk berehat sepanjang Ramadan. Namun, mengenangkan tanggungjawab dan dapat berkongsi rezeki dengan insan sekeliling seperti kru produksi yang sudah lama tidak bekerja, saya mengalah," katanya.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: