25 April 2021

VAKSIN COVID-19 - ACONG & ISTERI SUDAH DISUNTIK



Jika sebelum ini selebriti Sasha Saidin bersama suaminya, Sirhan Wahab serta pelakon dan penerbit A. Aida telah menerima suntikan vaksin, terkini penyanyi Acong Sweetchild, 48, dan isteri, Marya Zuraida Zahari, 40, pula sudah berbuat demikian.

Kongsi Acong, dia dan isteri sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama pada 21 April lalu. Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat berkata dia tidak tahu bagaimana perkara itu boleh berlaku, selain menyifatkan ia adalah rezeki yang tidak terduga.

Namun, Acong yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza 2015, tidak menolak dia mungkin mendapat vaksin itu lebih awal kerana faktor penyakit darah tinggi dihidapi menyebabkan namanya tersenarai awal berbanding orang lain.

"Saya isi borang di aplikasi My Sejahtera dan nyatakan apa sakit dialami. Jadi, apabila dipanggil dan nama tersenarai, memang saya bersyukur sebab tugas saya sebelum pandemik membabitkan keperluan berurusan ke luar negara.

"Jika sudah terima vaksin, saya tak perlu bimbang sekiranya pintu sempadan sudah dibuka semula nanti," katanya yang ditemui pada sidang media Starvendors Mega Raya Fest 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam masa sama, Acong kesal apabila mendapat pelbagai komen dan mesej keterlaluan daripada peminat, termasuk pada kalangan rakannya selepas dia memuat naik gambar dengan memaklumkan perkara itu.

Disebabkan itu, Acong mengambil pendekatan memadam hantaran itu kerana tidak mahu tertekan apabila dimomokkan dengan cerita yang tidak betul mengenai penerima vaksin sepertinya.

"Selepas memuat naik gambar itu, beberapa rakan menakut-nakutkan dengan menghantar pelbagai kenyataan atau cerita tidak enak berkaitan vaksin kepada saya melalui aplikasi WhatsApp.

"Sebab itu saya padam hantaran berkenaan. Saya tak mahu tertekan memikirkan risiko yang digembar-gemburkan pihak tertentu. Janganlah doakan saya mati," tuturnya.

Menurut Acong, sepatutnya penerima vaksin diberikan kata-kata semangat dan galakan agar tidak bimbang atau membatalkan niat untuk menerima vaksin yang disahkan selamat, berkesan dan efektif untuk keseluruhan rakyat Malaysia dalam usaha mencegah pandemik Covid-19.

"Saya betul-betul rasa lemah semangat apabila baca mesej berkaitan vaksin yang dikirimkan. Tapi mujur saya boleh kembali positif, tetapkan dalam kepala vaksin ni memang untuk kebaikan kita. Jika diikutkan nak mati, bila-bila masa pun orang boleh mati kalau sudah sampai ajal. Kita semua memang tetap akan mati," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: