11 April 2021

VIDEO DAH DIBUANG TAPI DISEBARKAN SEMULA - BABY SHIMA BUAT LAPORAN POLIS



"Saya memadamkannya selepas tahu Zhariff adalah OKU, bukannya takut dikecam. Jadi, jangan salah faham. Saya tidak mahu ia menjadi isu besar. Jika betul saya berniat mahu menghina atau nak buat kandungan dalam laman sosial, lebih baik saya membiarkan sahaja video berkenaan.

"Saya tahu sudah mengguriskan hati Zhariff dan netizen atas keterlanjuran saya. Alhamdulillah, Zhariff memaafkan saya. Saya berani bersumpah atas nama Allah disebabkan kekhilafan saya.

"Sejujurnya, saya tiada niat mahu menghina dan mempersenda. Buat apa saya nak buat sesuatu yang mencalarkan nama baik. Takkan saya tidak tahu menilai baik atau buruk sesuatu tindakan. Cuma, situasi sekarang saya memang tak kenal Zhariff, cuma tahu kakinya bergoyang," kata penyanyi Baby Shima yang akan lebih berhati-hati dalam memuat naik hantaran dalam laman sosial.

Bagaimanapun, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia terkejut dan pelik apabila video yang dipadamkan disebarkan semula selepas empat hari.

"Apa niat pihak tidak bertanggungjawab berkongsi video berkenaan tanpa mengetahui perkara sebenar? Adakah mahu membesarkan cerita ini? Tidak sedarkah, mereka yang sebarkan video ini memfitnah dan merosakkan nama serta imej saya. Saya sedih sebab ingat perkara ini sudah selesai, tetapi menjadi tular semula.

Klik untuk gambar besar



"Jadi, saya berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah sehingga merosakkan nama. Saya sudah memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berkenaan dua pemilik akaun Twitter dan satu akaun Instagram yang menyebarkan fitnah, baru-baru ini," kata penyanyi Baby Shima.

Shima memberitahu, dia bertindak memadamkan video sebelum tular lagi. Wanita kelahiran Johor Bahru itu berkata, dia terus membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan yang tidak disengajakan.

Mengulas tindakan disengajakan bagi mencetuskan kontroversi apabila nama semakin suam-suam kuku, Shima menepis anggapan itu: "Apa dimaksudkan dengan suam-suam kuku? Adakah disebabkan saya kurang tampil di kaca televisyen atau tiada lagu baharu?

"Saya jarang tampil di kaca TV kerana banyak menolak tawaran disebabkan bertindih dengan jadual. Saya juga mempunyai beberapa projek khas sedang berjalan. Tambah lagi, saya tidak mahu terlalu terdedah dengan keadaan COVID-19 yang belum reda, jadi saya haruslah memilih program yang sesuai.



"Saya sudah merakamkan lima single ciptaan dari Ezra Kong, Harry Khalifah dan Pasha Ungu. Bukan senang mahu bekerjasama, syukur sangat mereka sudi menghasilkan lagu buat saya," tuturnya.

Katanya, hingga kini, dia masih bernaung di bawah label terbesar Indonesia, Nagaswara: "Bagaimanapun, saya terpaksa balik ke Malaysia atas arahan kedutaan Malaysia disebabkan COVID-19.

"Saya juga masih banyak menerima undangan di Indonesia, tetapi terpaksa tolak kerana belum boleh merentas negara. Saya menjadi satu-satunya artis Malaysia bernaung di bawah label Indonesia. Apa yang saya lakukan di sini hanyalah projek khas. Jadi, saya dilabel artis suam-suam kuku dari segi apa?," jelasnya.

Mengenai perkembangan kerjaya di Malaysia dan Indonesia, Shima berkata, dia masih menunggu masa untuk pulang ke Indonesia bagi menyiapkan kerja yang lebih setahun terbengkalai.


"Insya-Allah, saya akan balik sejurus sahaja pintu sempadan dibuka. Ketika berada di Malaysia saya proses menyiapkan rakaman lagu baharu," katanya.

Sebelum ini, akibat bergurau tidak kena tempat, Shima menerima kecaman hebat. Tidak sensitif, biadap dan bodoh, itu antara kejian yang dilemparkan terhadapnya apabila memuat naik video reaksi terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Menerusi video berdurasi 18 saat yang dimuat naik dalam laman sosial, TikTok itu, Shima melakonkan semula aksi tokoh OKU, Zhariff Affandi yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, hanya menggunakan kaki untuk melakukan tugasan harian.

Dalam video itu, penyanyi lagu 'Pura-Pura Bujang' itu meniru pergerakan Zhariff dalam sesi temubual di kaca televisyen (TV) dengan menggunakan kaki yang memakai stokin. Shima seolah-olah membuat parodi dengan meniru aksi lelaki istimewa menggunakan kaki sebagai bahasa tubuh.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Baby Shima

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: