24 May 2021

AL-FATIHAH - SHARIFAH AMINAH MENINGGAL DUNIA SELEPAS TIGA TAHUN KOMA



"Dengan dukacitanya dimaklumkan, Bonda saya yang tercinta Allahyarhamah Sharifah Aminah Syed Abdullah telah berpulang ke Rahmatullah pada pukul 6.40 pagi tadi. Moga Allah ampunkan dosa-dosa beliau dan tempatkan arwah Bonda dikalangan para solihin.

"Semoga Mak tenang di sana. Amin ya Rabbal Alamin," demikian kata anak sulung kepada pelakon juga penerbit Sharifah Aminah Syed Abdullah, 76, iaitu Wan Monaliza Jamali yang berkongsi sedih dimana ibunya itu menerusi kiriman mesej WhatsApp.

Tiga tahun koma akibat pendarahan otak dan strok, Sharifah Aminah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang, jam 6.40 pagi, hari ini. Menurutnya lagi, arwah ibunya mula sesak nafas selepas waktu Maghrib, semalam. Allahyarham meninggalkan dua anak dan tiga cucu.

"Allah lebih menyayanginya. Saya berada di sisinya dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, pagi ini. Saya dapat tatap wajah arwah buat kali terakhir, sebelum tutup mata. Arwah ibu juga harus melakukan ujian calitan. Ia prosedur biasa yang harus dilalui bagi memastikannya positif atau sebaliknya," jelasnya.

Wan Monaliza berkata, jenazah ibunya akan dibawa ke Surau Saujana Impian selepas mendapat kelulusan pihak Hospital: "Kami sebolehnya mahu mempercepatkan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Kantan, Kajang, hari ini," ujarnya.

Terdahulu pelakon yang pernah membintangi pelbagai filem seperti 'Mama Oh Mama', 'Esok Untuk Siapa', 'Jefri Zain', 'Ceritaku Ceritamu' dan 'Wira Angkasa' ini dikejarkan dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas mengalami pendarahan otak dan ditahan selama empat bulan.

Kejadian berlaku apabila Allahyarham diraikan oleh rakan baiknya, pelakon Maria Kamal sempena ulang tahun kelahirannya pada 13 September 2018.

Selesai makan dan minum, Allahyarham mengadu sakit kepala dan didapati sudah dua hari tidak makan ubat darah tinggi. Bacaan darah tingginya ketika itu 220 dan doktor memaklumkan pembuluh darahnya pecah dan terus melakukan pembedahan.

Selepas itu, Sharifah Aminah dihantar ke sebuah pusat jagaan warga emas di Bangsar. Tindakan itu membuatkan Wan Monaliza menerima kecaman warganet yang tidak mengetahui kisah sebenar.

Namun Wan Monaliza yang kehilangan pekerjaan selepas itu tidak mampu membayar kos penjagaan ibunya dan membawa ibunya pulang ke rumah, tahun lalu.

Kisah ini turut mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) yang turut menyalurkan sumbangan buat Allahyarham.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: