12 May 2021

BALU ABAM AKUI ANAK MULA TANYA, CARI ARWAH BAPANYA



Anak kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini mencecah usia dua tahun itu sudah mula bertanya dan mencari bapanya.

Perkara tersebut diakui oleh balu arwah Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali. Siti Norhidayah atau Hidayah berkata, dia mengambil pendekatan menjelaskan situasi sebenar supaya Hamzah lebih cepat faham.

"Selama ini gambar arwah sentiasa ada bersamanya. Kebetulan ada peminat bagi dia bantal yang ada gambar arwah. Kalau ikut saya keluar dan balik rumah dia akan cari bantal itu dulu. Jadi, apabila semakin membesar dia sudah bertanya mengenai arwah.

"Memamg saya akan terangkan dan tunjuk gambar arwah. Saya akan cakap ayah sudah tiada, ayah di syurga. Dia faham cakap saya. Saya juga tunjukkan video persembahan arwah.

Klik untuk gambar besar



"Kalau kebetulan ada program arwah keluar di TV, saya akan tunjuk dan beritahu. Saya bawa dia ke depan TV. Jadi dia lebih kenal ayah dia," ujar Hidayah dipetik sebagai berkata.

Hidayah mengakui rasa rindu dan kasih terhadap arwah suami tidak pernah padam: "Rasa rindu masih terasa walaupun tak selalu kemaskini di Instagram, tapi sentiasa ingat dia. Saya letak nama arwah Abam untuk perniagaan dijalankan pun sebab semua orang kenal dia dengan Abam. Sebab ada juga tak kenal.

"Jadi, apabila aktifkan akauan Instagram suami, tak salah untuk digunakan dan kembangkan perniagaan yang saya buat selama ini. Sekurang-kurangnya ada juga rezeki anak kami," tambahnya.



Berkongsi mengenai kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama arwah, Hidayah berkata dia sentiasa teringat ketika setiap kali membuat persiapan raya.

"Ini tahun kedua kami beraya tanpa arwah. Macam tahun lepas pun, saya lebihkan kepada persiapan Hamzah. Saya nak gembirakan dia. Kalau bercakap mengenai hari raya, saya akan teringat persiapan dibuat arwah. Kami bersama-sama pergi beli barangan dapur, beli baju raya dan buat lemang. Selepas arwah tiada, saya buat sendiri.

"Kalau makanan kegemaran arwah pula, dia suka rendang ayam dan daging. Macam tahun lepas saya tetap buat untuk hidangan keluarga. Insya-Allah raya kali ini pun buat juga. Saya nak kenangan bersama arwah itu sentiasa ada," tambahnya lagi.

Untuk makluman, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari tahun lalu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: