04 May 2021

ISU BERI 'GAJI' - ZARINA ZAINUDDIN NAFI NAK ANIAYA BAKAL MENANTU



"Saya bukan ingin memaksa orang untuk berkahwin dengan anak saya. Saya pun tidak mengharapkan Azal untuk berkahwin, sebaliknya saya serahkan soal jodoh pada Allah. Andai ada jodoh Azal untuk berkahwin, saya terima. Sekiranya tiada pun tidak mengapa kerana saya tetap menerima anak saya seadanya, sama ada berkahwin mahupun tidak.

"Saya pun tidak mahu mensia-siakan hidup anak orang. Apabila saya mengeluarkan kenyataan ingin mencari isteri untuk Azal, ada yang menyangka saya sengaja ingin menjadikan anak orang sebagai mangsa untuk menjaga anak sendiri.

"Saya sebenarnya mencari wanita yang betul-betul ikhlas mencintai anak saya dan boleh terima keadaannya," jelas pelakon Zarina Zainuddin yang tidak berniat menganiaya wanita yang sudi berkahwin dengan anaknya yang menghidap autisme tahap sederhana, Muhammad Raizal Azrai atau Azal, 25, sehingga sanggup menawarkan gaji kepada bakal menantu.

Tidak melatah dengan kecaman netizen, Zarina, 51, menjelaskan, sebagai ibu, dia lebih mengenali anaknya. Terdahulu, kenyataan Zarina yang sanggup membayar gaji kepada wanita yang ikhlas mengahwini Azal, mendapat reaksi berbeza daripada warganet.

Ada yang mendakwa, pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu sengaja mahu menganiaya hidup bakal menantu berikutan emosi Azal yang ada ketikanya tidak stabil.

Klik untuk gambar besar




IKLAN:
JOM SHOPPING DI HARI RAYA INI BERSAMA LAZADA.
FREE SHIPPING, HARGA BERPATUTAN DAN EXTRA FREE RM15 MENANTI ANDA!





TERKINI DI LAZADA.
BARANGAN DAPUR JENAMA TEFAL YANG TAK MELEKAT. EXTRA FREE RM15 MENANTI ANDA!




Netizen mendakwa, disebabkan emosi Azal tidak menentu, dia tidak layak berkahwin berikutan bimbang boleh mendatangkan kecederaan kepada bakal isteri atau zuriat mereka kelak. Diminta memperjelaskan mengenai tawaran gaji yang dimaksudkan, Zarina berkata:

"Soal bayaran gaji, mereka dibayar bukanlah untuk berkahwin dengan Azal semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu bekerja dengan saya menjalankan perusahaan pulut kuning serta rendang yang diusahakan. Saya pun tidak bodoh menerima sesiapa sahaja yang sudi untuk bergelar isteri Azal semata-mata kerana duit," ujarnya.

Zarina berkata, dia menerima banyak mesej langsung (DM) di Instagram (IG) sejak isu tawaran gaji kepada bakal isteri anaknya diperkatakan. Malah, dakwa Zarina, ada antara pengirim pesanan berusia hampir sebaya dengannya yang sudi menjadi suri hidup Azal.

Selain mesej langsung di IG, Zarina menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp. Malah, suaminya, Datuk Sri Abu Raihan Wan Jaafar dan Azal dihujani mesej sama.

"Saya tidak sewenang-wenangnya memilih sebarang orang untuk berkahwin dengan Azal. Wanita itu perlulah ikhlas serta menepati ciri-ciri yang Azal serta saya mahukan. Azal sukakan wanita yang putih melepak, berkaki panjang dan tidak bertudung. Tetapi, saya tahu mustahil ada wanita seumpama itu seperti dimahukan Azal.


"Apa yang penting adalah keikhlasan untuk mencintai Azal. Wanita yang ingin menjadi menantu saya perlu bersedia untuk tinggal bersama dengan saya. Saya tidak akan melepaskan mereka tinggal sendiri kerana saya perlu melatihnya bagaimana menguruskan rumah tangga, belajar memasak dan cara melayan anak saya. Pendek kata, saya ingin membentuknya menjadi wanita sempurna," tuturnya.

Zarina berkata, dia mahu bakal menantu bekerja dengannya agar wanita terbabit mempunyai pendapatan sendiri dan ada masa depan: "Saya tidak suka melihat wanita yang lemah, terlalu bergantung kepada suami dan meratap hiba kerana tidak dapat membeli barang keperluan termasuk untuk anak sendiri," ujarnya.

Mengenai dakwaan sikap Azal yang agresif, Zarina berkata, anaknya hanya akan bertindak sedemikian apabila tertekan dengan sikap kembarnya yang juga menghidap autisme, iaitu Muhammad Razil Azrai atau Azil.

Bagaimanapun, Zarina menambah, Azal tidak mengalami gangguan mental dan tidak merbahaya seperti didakwa netizen. Malah, Zarina yakin anaknya tidak akan mencederakan orang lebih-lebih insan yang disayangi.

"Azal tidak merbahaya dan tidak pernah bersikap terlalu agresif. Dia hanya bertindak agresif jika melihat abangnya mengamuk. Saya yakin dia tidak akan mencederakan isterinya jika berkahwin kerana dia sayangkan wanita itu," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: