25 May 2021

MANGSA PELANGGARAN TREN - SELEBRITI LUAH RASA SIMPATI



Menerusi kejadian jam 8.30 malam tadi, tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang membawa 213 penumpang dari Gombak dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal.

Menurut laporan terkini, seramai 65 mangsa nahas berkenaan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mereka terdiri daripada 29 lelaki dan 36 wanita. Enam daripada mangsa yang menerima rawatan adalah warga asing, selebihnya warga tempatan.

Ramai pihak yang menzahirkan rasa simpati atas insiden tersebut termasuklah selebriti tanah air. Menerusi entri yang dimuat naik di media sosial, ramai selebriti mendoakan agar mangsa insiden pelanggaran membabitkan tren itu berada dalam keadaan baik.

Antaranya, penyanyi Ana Raffali yang turut mendedahkan laluan LRT Kelana Jaya itu adalah laluan hariannya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Klik untuk gambar besar



"Saya mendoakan keselamatan dan kesembuhan lebih 166 orang penumpang yang terbabit dalam insiden LRT laluan Kelana Jaya bernombor 40 dan 81.

"Perlanggaran ini berlaku berdekatan KLCC sekitar jam 9 malam dan masih di dalam penyiasatan. Itu adalah laluan harian saya sebelum PKP," katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Turut membuat ciapan adalah pelakon veteran Fatimah Abu Bakar dan anaknya, pelakon Sharifah Amani yang mendoakan kesembuhan dan semuanya dipermudahkan. Pelakon, pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa, 32, tidak ketinggalan memanjatkan doa.


"Allahuakbar, saya berdoa agar penumpang yang terbabit dalam kemalangan LRT berada dalam keadaan baik dan selamat," tulisnya.

Selain itu, pelakon dan pengacara Adibah Noor memohon pihak berkuasa dan majikan membenarkan pekerja bekerja dari rumah apabila melihat insiden yang merisaukan itu.

"Pihak berkuasa, sesiapa yang berkuasa dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP), anda perlu melihat semula SOP berkenaan stesen dan kereta api.

"Begitu banyak penumpang yang perlu pergi bekerja. Bos yang dihormati, sebilangan daripada anda perlu menilai bagi membenarkan kakitangan anda bekerja dari rumah," tulis Adibah pula.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: