25 May 2021

TERUS TABAH - ZAMANI BERSYUKUR TERIMA KATIL UNTUK RAWATAN SENDIRI DI RUMAH



"Dari segi luaran atau fizikal tak nampak sangat perubahan saya, tapi dari segi dalaman saya dapat rasa perbezaannya. Memang prosesnya sakit kerana saya baring dan sistem yang terdapat pada katil ini akan menolak tulang untuk betulkan mana yang patut.

"Waktu mula-mula dapat katil ini, saya bersemangat nak buat rawatan setiap hari tapi apabila dah sakit saya cuba minimumkan penggunaannya," itulah kata penyanyi Zamani yang meluahkan rasa syukur apabila diberikan katil oleh syarikat CERAGEM Malaysia bagi memulihkan penyakit yang dideritainya iaitu masalah skoliosis (tulang belakang melengkung).

Zamani berkata, dia menerima katil itu sejak sebulan lalu dan kini melakukan rawatan sendiri di rumah. Menurutnya, rawatan ini ada peringkatnya dan dia kini dalam fasa rawatan pertama yang mengambil masa 20 minit.

Diminta mengulas mengenai gambar dan kisah penderitaannya yang tular sebelum ini, Zamani berkata, dia tiada kuasa untuk menyekat perkara ini.

"Harapnya mereka yang tengok dapat faham situasi ini. Umur saya pun sudah 50 tahun dan pastinya akan ada penyakit. Ini bahagian saya. Namun, saya bukan merayu simpati mana-mana pihak.

"Pada saya yang penting ialah niat saya mencari rezeki walau dalam apa saja keadaan. Benda ini keluar daripada orang lain dan saya tak boleh buat apa-apa. Saya tak kisah cerita berkenaan ini dikeluarkan secara berintegriti di media utama," ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Gerimis Mengundang' ini mengakui sedih apabila cerita ini dipetik segelintir portal berita yang menokok tambah dengan cara yang keterlaluan.

"Kadang-kadang bila baca sedih juga tapi saya tak boleh buat apa-apa. Mereka yang faham-fahamlah," katanya.

Sementara itu, Zamani bersyukur masih diberikan kesempatan bernafas di bumi Allah ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50 tahun, hari ini. Zamani berkata, dia tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu besar dalam hidupnya sekarang.

"Pada usia dan situasi sekarang, dapat teruskan kelangsungan hidup pun dah rasa syukur sangat berbanding ramai lagi yang terkesan," katanya.

Ditanya mengenai zuriat, Zamani berkata, dia dan isteri, Nur Juliana, 37, sentiasa mencuba: "Dalam hidup sekarang, kami cari jalan mudah kerana tak nak terlalu tertekan. Apa yang terjadi lalui sahaja. Sekiranya ada anak itu adalah rezeki," tambahnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: