24 May 2021

"PERASAN KITA NI 'KAYANGAN' PATUT DIHENTIKAN... KITA SEPATUTNYA JADI TELADAN" - QUE HAIDAR



Isu selebriti yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan sehingga mengundang kemarahan rakyat.

Mengulas mengenai perkara itu, pelakon Que Haidar menggesa semua pihak berhenti merasakan diri memiliki hak istimewa lebih-lebih lagi ketika negara sedang berusaha menangani wabak Covid-19. Ujarnya, golongan artis perlu memberikan contoh baik memandangkan mereka sering menjadi perhatian masyarakat.

"Bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Perasan menganggap kita ini 'kayangan' patut dihentikan.

"Sebagai seorang figura awam, selebriti atau lebih mudah saya simpulkan, seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai, kita sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, suami kepada Linda Jasmine itu berharap mereka yang mendapat kebenaran rentas negeri tidak mengambil kesempatan kerana bimbang ia akan menyukarkan individu yang mempunyai urusan penting atau kecemasan kelak.

"Diharapkan semua pihak, tidak kira siapa, sekiranya memiliki surat kebenaran merentas negeri atau merentas daerah sekali pun jangan gunakannya untuk kepentingan sendiri atau mengambil kesempatan.

"Saya percaya, jika keadaan seperti itu berlaku, mungkin akan memberi kesan atau menyukarkan mana-mana pihak atau individu yang benar-benar mempunyai urusan penting atau kecemasan.

"Saya muak dan jelak membaca banyak komen menggelar golongan artis ni kayangan sehingga boleh terlepas dari mengikut SOP, terlepas dari hukuman atau sebagainya. Ada juga yang menggelar kami golongan artis ni bodoh. Tapi itulah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," ujarnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: