03 July 2021

BERSENTUHAN GUNA TEKNIK KAMERA - UYAINA MASIH JAGA BATAS & AURAT



Sejak tiga tahun kebelakangan ini, nama Uyaina Arshad laris menghiasi dunia lakonan, meskipun langkah seninya bermula dalam bidang pengacaraan sementelah menjadi juara pertandingan Pencarian Nona Manis pada 2015.

Bermula dengan drama 'Lelaki Kiriman Tuhan' (2018) sehingga 'Perempuan Tanpa Dosa' (2020), momentum Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad sebagai pelakon nampaknya semakin rancak.

Terbaharu, Uyaina mencuri perhatian khalayak menerusi karya 'Love, Elsa' lakonannya di samping aktor popular Zul Ariffin yang kini sedang bersiaran menerusi saluran Astro Ria.

Akui Uyaina, dia berasa begitu gugup sebaik mendapat tahu akan bergandingan dengan Zul dalam drama arahan Michael Ang itu, kerana menyifatkan dirinya masih terlalu mentah.



"Saya berbesar hati tetapi dalam masa yang sama takut juga untuk masuk ke set penggambaran kerana buat pertama kalinya bergandingan dengan Zul Ariffin. Ikutkan perasaan gementar, hendak berbual dengannya pun saya takut (ketawa).

"Alhamdulillah, pengarah Michael Ang memudahkan dan membuatkan semua yang bekerja dengannya berasa selesa. Rupa-rupanya selepas mengenali Zul, dia seorang yang suka mengusik. Jadi mudah untuk mencipta keserasian apabila berlakon," kongsi Uyaina.

Kata Uyaina lagi, sungguhpun bakatnya sebagai pelakon semakin diterima, namun dia bertegas sebagai Muslimah dia masih berpegang kepada prinsip untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki.

Ujar wanita berusia 29 tahun itu, meski terlihat sukar untuk menjaga batasan berkenaan dalam lakonan, Uyaina amat bersyukur kerana pengarah dan pelakon lain dalam drama Love, Elsa amat menghormati pendiriannya.



"Watak saya dalam drama Love, Elsa bernama Ammara seorang gadis yang pelik kerana mempunyai kuasa istimewa. Setiap kali Ammara bersentuhan dengan orang, dia akan mendapat memori orang yang disentuhnya. Jadi, watak saya perlu menyentuh orang.

"Namun, menariknya setiap kali babak bersentuhan Michael amat bijak menggunakan teknik kamera. Dalam televisyen kelihatan bersentuhan, tetapi sebenarnya tidak.

"Perkara tersebut amat membantu pelakon-pelakon berhijab yang mempunyai kebimbangan tentang isu bersentuhan dengan pelakon lelaki. Apa yang saya lihat perkara ini memberi satu semangat baharu buat pelakon berhijab.

"Ada banyak cara yang boleh dilakukan tanpa bersentuhan. Zul juga sangat fleksibel dan membuatkan saya berasa selesa sepanjang penggambaran," tutur Uyaina yang juga seorang pengacara program Wanita Hari Ini.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: