04 July 2021

BISNES MEDAN SELERA DITUTUP SEKETIKA - NICO KINI JUAL POPIA SIMPUL



Perniagaan medan selera yang diusahakan penyanyi rap terkenal 1990-an, Nico di bangunan Menara PJD, di ibu kota, nampaknya terpaksa ditutup seketika berikutan pelanggan semakin berkurangan.

Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 49, berkata perniagaan medan selera diusahakannya itu menyediakan pelbagai hidangan makanan Cina Muslim.

"Daripada 30 peratus pekerja iaitu sekitar 800 orang yang bekerja di situ, kini hanya tinggal 20 peratus saja dan keadaan berkenaan sangat sukar bagi saya untuk terus berniaga.

"Alhamdulillah, saya berjaya dapat tender untuk medan selera di tempat itu hingga sekarang. Namun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksana, saya terpaksa menutupnya sementara.

"Apabila orang dah boleh masuk kerja nanti, barulah saya buka semula operasi bisnes. Lagipun, memang saya dah tak mampu nak bayar sewa RM500 sebulan dan pekerja," katanya.

Menurut Nico, dia yang dibantu isteri sebelum ini turut mencari peluang menambah pendapatan dengan berniaga di Pasar Malam Kampung Baru. Malah, Nico juga menceburi bidang lakonan.

"Boleh dikatakan lebih setahun juga saya berlakon dan semasa PKP 1.0 masih ada lagi tawaran. Tapi, agak sukar juga nak bertahan kerana Covid-19 masih ada.

"Nak menyanyi pun seperti sukar dan tak pasti bagaimana masa depan. Jadi, saya pilih fokus pada lakonan dan program TV. Setakat ini, antara drama lakonan saya ialah Kl Gangster Underworld 2, Kasih Bertaut dan Pusaka Chalet Ana," ujarnya.

Tambahnya lagi, meskipun sedih apabila aktiviti lakonan terpaksa dihentikan sementara kerana PKP namu dia reda dan kini mencari pendapatan dengan membuat popia simpul untuk dijual.

"Ketika aktif berlakon, saya kerap diberikan watak serius tapi kelakar. Saya buat kerana minat dan tak sama langsung karekternya dengan menyanyi. Apapun, saya dan anggota Nico G kali terakhir mengeluarkan album kami pada Oktober 2019," akhirinya.

Perkahwinan kedua Nico dengan Juwiati Musa, 38, pada 26 Mei 2017 belum dikurniakan anak. Namun, dia mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Zainul,16, kini di bawah jagaannya dan seorang lagi Muhammad Fazul Shazreen, 8, tinggal bersama bekas isteri.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: