29 July 2021

BUNGA ISME: "BUKAN MOTIVASI, INI PENGHINAAN" - IBU INFLUENCER CERITA SITUASI SEBENAR



"Walaupun dia sudah minta maaf secara terbuka di Instagram, tetapi perkara ini tidak semudah itu untuk saya nak lupakan apatah lagi merasakan lega di hati. Ini kerana perkara seperti ini tidak boleh dipandang remeh lebih-lebih lagi dia merupakan public figure, ramai jadikan dia idola.

"Janganlah sampai menjatuhkan maruah dan memalukan seseorang itu walaupun seseorang itu merupakan budak kecil ataupun orang tua," kata penyanyi rap Bunga Isme yang turut mengecam sikap usahawan dan influencer, Carl Samsudin meskipun pemuda itu sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia berhubung video tular yang kini hangat diperkatakan.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 21, berkata, dia masih terkesan biarpun mengetahui warga emas dalam video tular itu juga mengakui tidak berkecil hati dengan kejadian itu.

Tindakan Carl Samsudin memohon maaf kepada rakyat Malaysia nampaknya tidak melembutkan hati penyanyi rap Bunga Isme yang turut mengecam sikap pemuda itu.

Klik untuk gambar besar



Tambah Bunga lagi, influencer itu sepatutnya menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menyantuni orang yang lebih berusia. Katanya, warga emas lebih mudah untuk terasa hati dan tersinggung jika ditegur secara kasar.

"Ini bukan la motivasi, ini adalah satu penghinaan kerana ia melibatkan air muka dan maruah individu tersebut. Meskipun pakcik tu sudah pun mengaku tidak kecil hati dengan tindakan abang, tetapi haruslah kita sedar, kita yang lebih muda ini lebih berpengetahuan dan berpelajaran," ujarnya.

Sejak Rabu, tular video seorang usahawan yang juga influencer media sosial meninggikan suara kepada seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Rata-rata netizen dan selebriti tempatan meluahkan rasa kesal dengan tindakan influencer tersebut.

Sementara itu, ibu influancer tersebut, Khatijah Abdullah turut memuat naik video penuh ketika program motivasi bertajuk 'Ubah Hidup' kepada 20 orang gelandangan Selasa lalu.


Menurut Khatijah, pihak yang menyebarkan sedutan video berkenaan mempunyai niat tertentu dan memberi gambaran negatif terhadap anaknya.

"Ini sedutan video anak saya. Sayangnya dipilih sedutan yang melihat perspektif negatif sahaja untuk diviralkan. Apa tujuan mereka? Hanya yang mahu memilih secara terbuka dan sihat sahaja mampu mencari jawapan," tulisnya.

Khatijah turut memuat naik sedutan video temuramah media bersama warga emas yang dikenali sebagai Abdul Hadi. Menerusi video berdurasi satu minit itu, warga emas berkenaan berkata, dia tidak berkecil hati sama sekali dengan tindakan influancer berkenaan.

"Saya tak kecil hati, dia cuma cakap bukan Tuhan ubah nasib kita tapi kita sendiri yang kena ubah. Apa yang dia cakap itu betul," jelasnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: