10 July 2021

"NYAWA-NYAWA IKAN..." - TAK MAMPU BAYAR SEWA, FENDY CALIPH BUSKERS MINTA RUMAH PPR



"Hampir tiga bulan saya dah macam nyawa-nyawa ikan. Sudah hujung-hujung sebab terdesak sangat. Duit simpanan dah habis... setahun lebih saya survive gunakan duit simpanan. Sampai satu tahap saya rasa dah tak boleh... kena buat sesuatu. Itu yang saya buat video untuk dapatkan bantuan," demikian kata pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun yang sudah menggunakan hampir kesemua wang simpanannya untuk menyara kehidupan bersama seorang anak.

Pulang ke kampung halaman di Perak adalah jalan terakhir bagi Fendy, 30, jika masalah kewangan yang dihadapinya tidak dapat diatasi dalam tempoh sebulan.

Fendy ditemui ketika lawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur. Selain Wan Ahmad Fayhsal, rintihan Fendy turut menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Pada Jumaat Fendy memuat naik video di Facebook bertujuan meminta bantuan rumah mampu milik di sekitar Kuala Lumpur daripada pihak berwajib. Kata Fendy yang tinggal berasama anaknya, Nur Azalea Zafirah, 6, masalah kewangan membuatkan dia sukar untuk membayar sewa rumah dan utiliti.

"Saya fikir kalau tak dapat nak survive dekat sini mungkin saya akan balik kampung di Ipoh dan tunggu sampai keadaan baik semula. Kalau tak ada bantuan, bulan depan adalah bulan terakhir saya duduk di rumah ni sebab tak boleh bayar. Saya pindah sini bulan April dan tinggal berdua dengan anak. Alhamdulillah bab makanan memang tak putus tapi masalah nak bayar sewa rumah dan utiliti," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu Fendy meluahkan rasa syukur kerana ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan kepadanya. Ujarnya lagi, dia akan terus membuat persembahan busking menerusi online untuk mendapatkan sumbangan menerusi Facebook page miliknya.

"Saya tak mampu nak kata apa, saya minta bantuan semalam hari ini sampai. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu. Saya akan terus buat busking secara online untuk mendapatkan sumbangan.

"Macam-macam makanan dan sumbangan yang diberikan mereka. Saya sangat bersyukur dan ia seolah-olah mimpi jadi kenyataan. Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab perasaan yang rasa sekarang sangat berbeza.

"Mereka yang hadir juga mempunyai matlamat yang sama iaitu akan berusaha untuk mendapatkan rumah mampu milik DBKL untuk saya diami kerana bayaran sewa rumah rumah saya sekarang RM1,300 sebulan," ujarnya.

Menurut Fendy lagi, mungkin ramai tidak tahu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga mempunyai komitmen tinggi setiap bulan.


"Tahun lalu saya terpaksa jual dua set dram kesayangan pada harga RM1,500 dan RM2,000 selepas wang simpanan yang digunakan selama setahun semakin berkurangan.

"Sebenarnya golongan OKU lebih banyak pakai duit sebab perlu mencari kediaman yang berhampiran dengan pengangkutan awam serta perlu menggunakan khidmat e-hailing untuk bergerak, secara tidak langsung menelan kos yang tinggi.

"Saya juga ada mohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia menyukarkan saya untuk membuat urusan permohonan kerana pejabat tutup.

"Pendapatan sebagai 'buskers' sekarang juga tidak semeriah dulu kerana orang ramai bekerja dari rumah. Pernah sekali saya busking di salah satu stesen LRT, saya hanya dapat RM30 saja pada hari itu, tapi bayaran untuk perkhidmatan Grab adalah RM35," katanya.

Untuk makluman, Fendy berkahwin dengan seorang lagi anggota Caliph Buskers iaitu Nadira Rubina pada 3 Mei 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata. Pasangan ini bercerai pada tahun 2018. Selain Fendy dan Nadira, Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat, Zaki Ismail dan Nirwan Zainalabidin.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: