22 July 2021

PENYAKIT LAMA DATANG BALIK - EZAD LAZIM JALANI PEMBEDAHAN GERD PAGI KHAMIS



Penyanyi Ezad Lazim sekali lagi diuji apabila penyakit Gerd yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu kembali menyerang, selepas berdepan dengan masalah sinus hujung Jun lalu.

Susulan itu, isterinya iaitu Zeana Ramli berkata, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 42, terpaksa menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor pada pagi ini, Khamis.

"Ezad akan dibedah pukul 9 pagi nanti (tadi)... dia memang dah tak tahan sangat sebab itu dia bersetuju untuk buat pembedahan. Sebelum ini Ezad susah nak pergi hospital, tapi apabila dia kata dah tak tahan tu memang betullah dia sakit sangat.

"Dia muntah-muntah sejak semalam (Rabu), terus saya bawa dia ke hospital dan lepas kami buat swab test Alhamdulilah keputusan negatif dan saya boleh teman dia di wad sehingga selesai pembedahan," katanya.

Klik untuk gambar besar



Gerd (Gastroesophageal Reflux Disease) adalah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

Zeana turut berkata, Ezad terpaksa berpantang dengan hanya makan bubur atau makanan yang dikisar selama sebulan selain berdepan risiko masalah suara. Zeana turut mengharapkan peminat Ezad dapat mendoakan kesihatan suaminya agar kembali sihat dan pembedahan berjalan lancar.

"Doktor ada beritahu lepas ini Ezad hanya boleh makan bubur dan makanan dikisar sahaja untuk tempoh sebulan. Selain itu, suara Ezad juga akan bertukar sedikit serak selepas ini kerana kamera endoscopy akan dimasukkan melalui tekak untuk memeriksa organ dalam badan yang bermasalah sebelum pembedahan dilakukan.



"Ezad tahu mengenai perkara ini dan dia pun tidak kisah, asalkan dia kembali sihat macam dulu. Sekarang ini Alhamdulillah penyakit kencing manis dia pun dalam keadaan terkawal.

"Saya harap semua dapat doakan agar Ezad cepat pulih dan saya pun jadi buntu apabila dia sakit... nasib baik ada jiran yang boleh tolong jagakan anak-anak sementara saya teman Ezad di wad," ujarnya.

Untuk makluman, vokalis kumpulan Exists itu mendirikan rumah tangga dengan Zeana pada 29 Mac 2013 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha, 8, dan Putera Muhammad Darwish, 6.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: