01 July 2021

TAM SPIDER: "TONY BERITAHU SAYA NAK PERGI, DIA MINTA MAAF ATAS SILAP DIA..."



Penyanyi Spider, Tam Mustafah memberitahu dia sempat bertemu dengan bekas pemain bass kumpulan itu, Tony Iskandar dua hari lalu sebelum ditemui meninggal dunia dalam sebuah bilik di Studio Luncai Emas milik Datuk M Nasir di Sungai Buloh, awal pagi semalam.

Tam ketika dihubungi berkata, pada mulanya dia tidak terlalu memikirkan sangat kata-kata Tony itu, namun terdetik di hatinya dia tidak seronok apabila Tony berkata begitu.

"Dia ada beritahu saya dia nak pergi. Dia minta maaf atas salah silap dia sepanjang berkawan selama ini. Saya malas nak layan kata-katanya. Saya tahu apa yang dimaksudkan tapi saya malas nak layan perasaan sedih dia.

"Lepas itu saya ajak dia solat Maghrib berjemaah bersama seorang lagi rakan. Dia suruh saya datang lagi esoknya. Tapi saya tak sempat datang untuk solat Maghrib sebaliknya saya datang lewat. Saya memang selalu bawa makanan untuk dia. Memang saya sentiasa dengan dia hingga hujung usianya," katanya.

Terdahulu, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri dalam biliknya di studio Luncai Emas oleh jurutera muzik, Hanafi dan dipercayai menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 pagi tadi.

Klik untuk gambar besar



Tony yang memeluk agama Islam pada 2004 mempunyai bilik persendirian di studio itu bagi melakukan kerja berkaitan muzik dan penghasilan lagu. Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga, namun tidak bertahan lama dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Tam, dia sebenarnya tidak terkejut apabila menerima berita kematian Tony kerana sudah bersedia dengan sebarang kebarangkalian kerana mengetahui rakannya itu menghidap diabetis yang serius.

"Saya cuma sedih dengan berita ini, namun rasa puas dapat berkawan serta sempat bersama dengannya. Saya percaya Tony meninggal dunia atas sebab sakit yang ditanggung selama ini. Dia menghidap kencing manis dan di bahagian tapak kakinya ada luka. Dia dah tak dapat rasa luka itu dan apabila tak dapat rasa ia makin beri kesan pada buah pinggang dan jantung," jelasnya.

Menurutnya, pelbagai faktor sekeliling turut membuatkan Tony bergelut melawan penyakitnya: "Dia ada makan ubat tapi ikut cara sendiri. Ada masa dia makan dan ada ketikanya tak. Dia hidup solo tiada apa nak dirisaukan dan tiada siapa ambil berat. Semuanya atas usaha dia sendiri," ujarnya.

Jenazah Tony kini masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan hari ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: