08 July 2021

"TIDAK SEMUA ORANG HARGAI APA DIA LAKUKAN" - DAFI BANGGA BAPA DILANTIK TPM



Semua sedia maklum mengenai pelantikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) berkuat kuasa serta-merta semalam.

Dek kerana itu, penyanyi dan pelakon Dafi telah meluahkan rasa gembira dan bangga dengan pelantikan bapanya. Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) itu berkata dia dan keluarga sentiasa menyokong apatah lagi dia sendiri melihat keadaan bapanya yang bekerja keras selama ini.

"Saya tumpang gembira dengan pelantikan ini. Sebagai anak saya sangat berbangga dengan setiap kejayaan yang beliau terima selama berkecimpung dalam bidang politik.

"Saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya. Kita semua tahu yang dunia politik ini adalah minat utamanya. Saya harap dia mampu menggalas jawatan ini dengan sebaik mungkin serta terus cemerlang dalam kerjayanya," katanya.

Dalam pada itu, Dafi berkata, meskipun ramai yang tidak menghargai usaha keras bapanya selama ini, namun dia kasihan melihat sendiri penat lelah bapanya yang bekerja tanpa mengenal erti penat.

"Saya tahu dia suka dengan kerjanya, tapi saya juga kasihan melihat keadaan dirinya yang penat bekerja. Tambahan pula tidak semua orang betul-betul menghargai apa yang dia lakukan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana faham keadaan sekarang orang ramai yang tertekan serta ada sesetengah yang tidak sependapat dengannya. Namun, perkara ini sudah menjadi asam garam dan sebahagian daripada kerjayanya," ujarnya.

Tambah Dafi lagi, Ismail selalu bertanya kepadanya jika ada menerima mesej peribadi atau terbaca apa saja keluhan atau masalah daripada orang ramai.

"Dia seboleh mungkin cuba nak tahu apa lagi keluhan yang dihadapi dan mahu cuba membantu dengan sebaik mungkin," jelasnya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Ahli Parlimen Bera itu akan dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ismail juga kekal dengan portfolio Menteri Pertahanan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: