"COVID-19 bukan perkara main-main. Menambahkan kerisauan apabila berdepan pengalaman ibu saudara bersama empat sepupu yang rapat disahkan positif. Lebih menakutkan, bapa mentua ibu saudara dan pembantu rumah menjadi korban dalam sekelip mata selepas dijangkiti.
"Saya dan ibu, Anai Ibrahim tinggal di Kuala Lumpur jadi ngeri mahu keluar rumah. Pelbagai kisah, pengalaman dan teladan ahli keluarga yang positif menimbulkan banyak kesedaran, setiap langkah perlu waspada dan jaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan," kata pelawak dan pengacara, Zizan Razak, 37, yang berdepan trauma apabila 24 ahli keluarga dan sanak saudara disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, katanya, COVID-19 juga mengorbankan dua ahli keluarga yang berada di Dungun, Terengganu itu. Zizan berkata, dia cukup terkesan apabila 24 ahli keluarga yang terdiri daripada ibu saudara, sepupu dan sanak saudara dijangkiti COVID-19 serentak.
Pemenang tiga kali trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu berkata, pada awalnya, dia masih keluar bekerja, namun, sekarang memilih bekerja dari rumah.
"Jujurnya, saya tiada keberanian nak keluar bekerja dengan jumlah harian positif COVID-19 melebihi 20,000. Saya boleh mohon surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas dasar kerja, namun, saya harus memikirkan nyawa dan keselamatan ibu yang tinggal sebumbung dengan saya.
Klik untuk gambar besar
"Lagi pun, kerisauan saya lebih tinggi dengan pengalaman saudara mara dijangkiti COVID-19. Ia juga menyebabkan hati saya tidak seronok bekerja di luar," ujarnya.
Mengulas impak pandemik COVID-19, pelakon filem 'Abang Long Fadil' dan 'Polis EVO' itu berkata, kesannya tetap ada apabila hampir tiga bulan tidak bekerja.
"Saya percaya semua artis dan penggiat seni terjejas. Banyak kerja penggambaran tertangguh dan terhenti. Saya tidak melakukan apa-apa kerja pada ketika ini. Cuma, beberapa bisnes masih berjalan. Namun, saya reda dan hanya mampu berdoa COVID-19 berlalu dengan segera. Bagi saya, ini saat penuh getir, apatah lagi, kes makin meningkat.
"Kita dapat lihat seorang demi seorang menjadi korban pandemik, termasuklah rakan baik, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment