12 August 2021

AL-FATIHAH - IBU EBI KORNELIS DIJEMPUT ILAHI AKIBAT COVID-19



Takziah kami ucapkan kepada penyanyi Ebi Kornelis atas pemergian ibu, Allahyarham Reni Bakar, 81, yang menghembuskan nafas terakhir akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Lebih menyedihkan, naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelima itu tidak sempat bertemu arwah ibu sejak tiga hari lalu kerana menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC), kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) apabila disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos lalu.

Selain Ebi, 38, bapanya, Yaimal Muhammad, 74, juga dijangkiti COVID-19. Bapanya kini mendapatkan rawatan dan kuarantin di hospital sama ditempatkan arwah ibunya.

Cubaan menghubungi Ebi gagal apabila pusat kuarantin mempunyai masalah liputan telekomunikasi. Hasil semakan dalam Facebook milik Ebi dibanjiri ucapan takziah. Berita pemergian ibu Ebi disahkan anak saudara Ebi, Afza Kharmizi Abu Bakar.

Klik untuk gambar besar



"Kami dihubungi doktor memaklumkan nenek meninggal dunia, jam 9.46 malam, semalam. Ketika ini, Ebi dan datuk masih menjalani kuarantin. Keadaan datuk stabil dan di bawah pemerhatian doktor. Proses pengebumian jenazah masih diusahakan kerana ada beberapa prosedur perlu diselesaikan. Ini termasuk menunggu keputusan Ebi sendiri," ujarnya.

Afza berkata, kebanyakan adik beradik Ebi berada di Sarawak: "Ini termasuklah ibu saya yang berada di Sarawak. Arwah nenek memiliki 10 cahaya mata, 27 orang cucu dan 11 cicit," katanya.

Terdahulu, Ebi dan bapanya disahkan positif COVID-19. Ebi ditempatkan di Hospital Tuaran, sebelum dipindahkan ke PKRC.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: