14 August 2021

BILA MAWAR RASHID AMBIL RISIKO HANTAR SENDIRI SUMBANGAN KE HOSPITAL



"Sejujurnya memang sangat takut dan setakat ini, suami saya pun tak keluar beli barang dapur. Kalau nak beli pun, kami upah orang belikan... memang tak berani nak keluar langsung. Tapi disebabkan saya nak jalankan tanggungjawab dan amanah duit hasil derma daripada rakyat, sebagai bukti saya kena beranikan diri, ambil risiko untuk keluar hantar sendiri sumbangan ke hospital terpilih.

"Tapi masa hantar barang-barang hasil daripada sumbangan orang ramai itu, saya memang jaga betul-betul SOP malah siap pakai baju PPE juga," kata pelakon Mawar Rashid yang mengakui dia dan suaminya iaitu Raf Yaakob berasa takut keluar rumah biarpun hanya untuk membeli barangan keperluan kerana pernah melalui pengalaman menjadi pesakit Covid-19.

Namun demi menjalankan tanggungjawab dan amanah, Mawar, 26, sanggup mengambil risiko dengan menghantar sendiri barangan dan sumbangan orang ramai ke Hospital Selayang. Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata dia dan suaminya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) selain memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) sepanjang berada di hospital tersebut.

Menerusi laman Instagram, Mawar memberitahu dia bersama suami dan beberapa rakan selebriti antaranya Zoey Rahman dan Eyra Hazali berjaya mengumpul sebanyak RM114,000. Sumbangan daripada orang ramai yang menyertai Instagram Live (IG Live) Mawar itu dikumpul selama tiga hari dan diserahkan kepada Hospital Selayang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, pelakon filem 'Bu, Kasih Suci' ini mengakui dia juga berasa bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang sangat tinggi. Tidak mahu melalui pengalaman pahit buat kali kedua, Mawar dan keluarganya tetap terus menjalani kuarantin di rumah dan menganggap diri mereka masih dijangkiti wabak tersebut.

"Ramai rakyat Malaysia yang berasa paranoid macam saya terutama orang yang pernah kena Covid-19... ahli keluarga masuk hospital. Memang sangat takut. Saya sendiri pernah kena dan tak nak benda itu berulang lagi. Satu keluarga saya positif dan Alhamdulillah semua sudah sembuh. Rasa seperti diberi kehidupan kedua... macam mati hidup semula.

Sebab itu, kami sekeluarga memang terus kuarantin sampai sekarang. Kami anggap diri masih positif... tak nak la kena buat kali kedua sebab doktor pun ada beritahu kali kedua kena boleh jadi teruk," ujar Mawar yang sebelum ini mendedahkan dia mendiamkan diri daripada laman sosial selama dua minggu disebabkan dia dan keluarganya dijangkiti Covid-19.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: