10 August 2021

HIDAP KANSER PERUT - EMMA AKMA MOHON MAAF, MINTA HALALKAN SUMBANGAN



"Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sudi menderma sehingga berjaya dapat RM20,000 dalam tempoh empat hari. Walau RM1 pun saya sangat-sangat hargai kerana ia mampu selamatkan nyawa saya. Ia sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk melawan kesakitan ini.

"Alhamdulillah, saya juga dapat panggilan daripada Institut Kanser Negara (IKN) untuk menjalani pemeriksaan pada Khamis ini. Dengan jumlah sumbangan yang ada sekarang, saya takkan menunggu lama dan terus melakukan pemeriksaan itu.

Jika IKN boleh lakukan pembedahan, lagi saya bersyukur dan harap ia dapat dilakukan segera," kata pelakon Emma Akma, 52, yang memanjatkan kesyukuran tidak terhingga apabila jumlah sumbangan untuk menanggung kos pembedahan kanser perut dialaminya sudah mencecah lebih RM20,000.

Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus berkata, sumbangan menerusi akaun banknya itu semakin meningkat selepas penderitaannya mendapat liputan media baru-baru ini. Malah, beberapa rakan artis turut tampil memberi bantuan kepadanya.

Pelakon drama 'Gerak Khas: The Finale' itu paling terharu apabila netizen sudi menyumbang secara ikhlas biarpun serendah RM1. Baginya, ia sudah cukup disyukurinya kerana mampu meringankan beban ditanggung.

Menurut Emma, dia kini berusaha menguatkan semangatnya meskipun dengan keadaan perut busung dialaminya semakin membesar. Dia juga meminta doa semua agar urusan kesihatannya dipermudahkan.

"Sekarang saya cuma mahu fokus untuk segerakan pembedahan dengan wang sumbangan yang ada. Ini kerana kalau ditangguh, ketumbuhan itu boleh pecah bila-bila masa dan membawa maut.

"Kalau misalnya tiba-tiba saya pergi, suami dan keluarga saya boleh gunakannya untuk urusan bayaran hutang serta pengebumian. Saya mohon maaf dan minta halalkan sumbangan kalian semua itu.

"Saya tak tahu bagaimana hendak membalas jasa baik semua yang sudah menghulurkan bantuan. Saya cuma mahu doa kamu semua agar saya diselamatkan serta urusan pembedahan dipermudahkan," ujarnya.

Emma ditemui di kediamannya hari ini sewaktu menerima sumbangan daripada wakil kumpulan artis veteran juga, Tukiman Radion dan Norlydiawati Shahibullah. Mereka tampil menziarah dan menyumbangkan cek bernilai RM1,050.

Menurut Tukiman, mereka sangat bersimpati dan ambil berat dengan penderitaan pelakon itu. Justeru, mereka berharap sumbang terbabit mampu meringankan bebannya.

"Apabila mendapat tahu berita Emma menghidap kanser perut, kami sepakat untuk mengumpul sumbangan daripada rakan artis lain. Kami tidak mahu nanti industri kita kehilangan seorang lagi pelakon berbakat," jelasnya.

Terdahulu, Emma tampil merayu bantuan orang ramai selepas disahkan menghidap kanser perut serta ketumbuhan cyst sebesar saiz bola sepak. Dia mengakui buntu kerana pembedahan segera ketumbuhan itu memerlukan kos sebanyak RM50,000.

Pelakon terbabit masih berharap dapat mengumpul sumbangan bagi mencapai kos yang diperlukannya. Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank 162209987311 (Noorakma Yunus).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: