20 August 2021

JATUH BANGUN BERSAMA - REMY ISHAK AKUI PERNAH BERKENALAN DENGAN ORANG LAIN



Bakal menamatkan zaman bujang pada hari esok (Sabtu - 21 Ogos 2021), pelakon Remy Ishak menerusi sesi temu bual bersama media secara dalam talian, hari ini memberitahu bakal isterinya, Ezza Yusof atau nama sebenarnya, Roszaliza Yusof, 38, adalah seorang wanita yang sangat memahami dirinya sebagai seorang lelaki dan juga artis popular.

Ujar Remy, keperibadian Ezza telah membuatkan dia tidak ragu-ragu lagi memilih wanita itu sebagai isteri. Akui pelakon filem 'Pulang' ini lagi, tempoh perkenalan dia dan Ezza bukanlah dalam tempoh yang singkat dan mendedahkan bahawa sudah lapan tahun mengenali antara satu sama lain.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 39, berkata, tempoh lapan tahun perhubungan dengan Ezza yang juga ahli perniagaan itu dianggap satu proses pembelajaran buat mereka sebelum memutuskan untuk berkahwin.

"Ezza sentiasa ada bersama pada saat jatuh, bangun saya. Walaupun selepas kami putus tunang, kami terus berhubung dan dia selalu ada. 'She's the one. Saya selalu bercakap pada diri, saya perlukan seseorang yang faham dan kenal saya bukan saja sebagai Remy Ishak tapi juga Mohammad Zalimei.

Klik untuk gambar besar



"Agak bahaya kalau pilih pasangan yang kenal saya sebagai Remy saja. Saya nak pasangan yang kenal luar dalam. Pahit manis hubungan selalu berlaku. Diakui sepanjang lapan tahun perkenalan dan perhubungan kami macam-macam berlaku. Pada tiga tahun pertama susah nak kenal saya ditambah dengan sifat cemburunya. Tapi, jatuh, bangun, sakit saya, dia ada di situ.

"Ketika putus tunang, saya ada juga berkenalan dengan orang lain dan kenal hati budi. Tapi dalam proses itu hubungan tak dapat teruskan. Jadi, ketika tempoh putus tunang itu juga kami putuskan untuk terus berhubung. Dia selalu ada di situ. Dia orang yang faham saya," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai perhubungan itu, Remy berkata, sikap terlalu memilih itu perlu ada dalam diri dan ia dibuktikan dengan pilihannya yang bakal mengahwini Ezza.



"Saya berjumpa ramai orang. Menjadi figura awam mudah untuk kenal ramai orang. Bukan saya terlalu memilih, tapi saya fikir ia bukan kerja saja tapi juga untuk masa depan. Jadi, terlalu memilih itu perlu. Bukan dari segi status atau kerjaya dan sebagainya, pada saya peribadi.

"Kalau ada orang pernah cakap perkara tidak baik mengenai saya sebelum bersama Ezza, saya faham semua orang melalui proses pembelajaran dalam hidup. Malah, masa kenal Ezza pun ada juga berita tak baik mengenai dia. Kami sama-sama lalui proses pembelajaran itu," jelasnya.

Tambah Remy, dia menghormati Ezza kerana selalu ingin berubah menjadi lebih baik. Perkara itu juga membuatkan Remy kagum dengan Ezza kerana Remy juga perlukan sokongan untuk menjadi lebih baik.



"Dia bukan saja sokong saya dalam dunia glamour ini, tapi peribadi juga. Saya berasa terusik di situ. Dia bukan kenal saya sebagai Remy Ishak, tapi dia pandang saya macam orang biasa. Dia selalu cakap kenapa nak layan saya macam VIP. Baginya manusia tetap sama. Itu yang buatkan saya masih berpijak di bumi nyata dan saya perlukan itu," katanya.

Remy yang juga pelakon drama 'Lelaki Kiriman Tuhan' bakal melangsungkan pernikahan dengan Ezza yang berasal dari Mentakab, Pahang, pagi esok di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Majlis pernikahan pasangan itu juga berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Malam semalam, Remy mengumumkan bakal bernikah dengan gadis pilihan hati. Untuk makluman, Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun, putus dua tahun kemudian. Bagaimanapun, ikatan kasih mereka dikatakan bercantum semula, tahun ini.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: