07 September 2021

‘PENCARIAN NONA SUPERWOMAN’ PERKASAKAN USAHAWAN WANITA



Selepas tercetusnya fenomena majlis penganugerahan ‘Nona Superwoman Award’ yang mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan golongan wanita dalam pelbagai bidang anjuran Majalah Nona pada tahun 2018 dan 2020, buat julung kalinya kesinambungan misi pencarian untuk memperkasakan kaum hawa tersebut kini dikembangkan serta diangkat sebagai program realiti menerusi kerjasama strategik di antara pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. dan saluran Astro Prima selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi.

Program ‘Pencarian Nona Superwoman’ ialah sebuah pertandingan berkonsepkan realiti untuk mencungkil potensi golongan usahawan wanita khususnya kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sekaligus memberi inspirasi dan dorongan positif kepada segenap lapisan masyarakat yang ingin meneroka peluang sumber pendapatan baharu dengan menceburi bidang keusahawanan.

Penyertaan terbuka kepada golongan usahawan wanita kumpulan B40 dan M40 yang berusia di antara 25 ke 45 tahun. Calon peserta juga perlu mempunyai perniagaan sendiri sama ada sepenuh atau separuh masa.

12 finalis ‘Pencarian Nona Superwoman’ yang terpilih untuk menyertai musim pertama ialah SYU RAMLI (33, Melaka), FAZSFAOZI (35, Perak), LINDA ROOS (36, Kuala Lumpur), ANA (26, Perak), RINA (35, Kelantan), AYU OMAR (28, Kuala Lumpur), SYA (32, Kelantan), JIEJIE (26, Sabah), AYDA (30, Kelantan), EMMA (37, Selangor), SARAH ISMAIL (34, Kuala Lumpur) dan FAZLIA AKMA (37, Kuala Lumpur).

Selebriti Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan yang juga merupakan penerima anugerah ‘Nona Best Strategic Business Thinker’ di Nona Superwoman Award 2020 telah diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab selaku juri tetap yang bakal mengadili pencarian ‘Pencarian Nona Superwoman’ musim pertama.

Selain daripada mereka, barisan personaliti popular juga bakal diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu sebagai juri jemputan. Manakala pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad bakal mengemudikan pencarian kali ini sebagai hos program.

Rangkaian program ‘Pencarian Nona Superwoman’ akan bersiaran secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.

Program berbentuk kapsul berjudul ‘Profil Peserta Pencarian Nona Superwoman’ menerusi paparan 12 buah episod akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 5.55 petang mulai 6 September 2021. Manakala program ‘Kapsul Pencarian Nona Superwoman’ pula akan mula disiarkan selama 8 buah episod pada setiap hari Rabu, jam 7.00 malam mulai 22 September 2021.

Program utama ‘Pencarian Nona Superwoman’ pula bakal bersiaran selama lapan episod pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 22 September 2021.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: