03 September 2021

"TIDAK AKAN MEMAAFKAN KESALAHANNYA HINGGA SAYA PEJAM MATA" - ANDI BERNADEE



Penyanyi dan pelakon Andi Bernadee, 30, telah duji dengan pelbagai dugaan termasuk pernah menjadi mangsa dengki sehingga di sihir, dan terbaru penyanyi 'Donde' dan 'Satu Peluang' itu itu mendakwa dirinya dianiaya rakan baik hingga mengalami kerugian hampir RM70,000.

Meskipun perjalanan agak mencabar, namun Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile tidak pernah menyesal dengan takdir yang menimpanya, malah yakin ada rahmat menanti sebalik ujian yang menimpa. Pelakon drama 'Melastik Ke Hatimu' dan 'Perisik Cinta Tak Diundang' itu berkata, 2021 adalah tahun mencabar buatnya.

"Macam-macam perkara berlaku dalam hidup saya. Awal tahun, saya jatuh sakit akibat di sihir, kemudiannya disahkan menghidap batu karang dan perlu menjalani pembedahan.

"Dan hari ini, duit saya pula dikebas kawan baik. Walaupun dugaan ini menguji kesabaran dan keimanan, tetapi saya harus reda. Saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mungkin Allah mahu memberikan sesuatu lebih baik, jadi saya telan segala ujian diberikan," katanya.

Klik untuk gambar besar



Katanya, dia membuat laporan polis kerana rakan baiknya itu songlap duit sehingga mengalami kerugian hampir RM70,000. Akuinya, dia hampa kerana setiap kali bertanyakan soal bayaran, ada sahaja alasan yang diberikan.

"Duit ini hasil titik peluh saya berlakon dan melakukan kempen jualan baju. Saya benar-benar tidak sangka, rakan baik dibawa ke dalam industri seni dan pernah mengerjakan umrah bersama tergamak 'makan' duit saya.

"Saya tidak membuat tuduhan melulu kerana mempunyai cukup bukti apabila pelanggan mengakui sudah melunaskan bayaran hasil kerja saya kepada individu berkenaan sebelum Aidilfitri pada Jun lalu.

"Saya memang serabut, ketika ini. Saya banyak berdiam diri dan agak lama tidak memuat naik sebarang hantaran dalam media sosial. Sudahlah berdepan cabaran pandemik COVID-19. Ingatkan, duit penat lelah bekerja dapatlah menampung kehidupan. Saya penat buat dua kerja.



"Paling buat saya sedih tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak untuk membantu keluarga di kampung. Saya masih ada keluarga yang perlu ditanggung. Apabila ibu bertanya mengenainya, saya katakan duit sudah hilang dibawa lari. Saya bukanlah terlalu mudah mempercayainya dalam soal menguruskan kerjaya dan kewangan.

"Dia adalah kawan baik yang dikenali sejak dua tahun lalu. Dia pernah membantu saya. Bagaimanapun, saya tidak pernah melantiknya secara rasmi sebagai pembantu peribadi. Memang tiada sebarang perjanjian. Dia sendiri menawarkan diri untuk membantu saya," ujarnya.

Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, dia serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan: "Saya bertindak begini kerana dia masih aktif dalam industri seni. Saya tidak mahu artis lain menerima nasib sama seperti saya. Dan, jika ada mana-mana selebriti pernah menjadi mangsa, saya harap mereka juga tampil membuat laporan polis," jelasnya.

Tambahnya, dia pernah bersemuka dengan individu itu selepas dimaklumkan pelanggan sudah melunaskan bayaran: "Saya jumpa secara baik dan masih boleh bertolak-ansur sekiranya benar mengambil duit saya.



"Malangnya, pertanyaan saya langsung tidak diendahkan, malah wajah saya tidak pandang. Waktu itu, kesabaran saya sudah sampai ke kemuncak. Saya katakan, tidak akan memaafkan kesalahannya hingga saya pejam mata," katanya.

Mengulas kesihatannya, Andi berkata, keadaan kesihatannya seperti biasa sahaja: "Sekejap penyakit misteri itu muncul, sekejap hilang. Saya pun sudah berhenti berubat. Jujurnya, saya sudah penat berubat ke sana sini, tetapi belum pulih sepenuhnya.

"Apabila sakit datang, saya akan berdebar, suka menyendiri dan menangis. Emosi saya terjejas teruk. Lagipun, saya memang tidak tahan kesan selepas berubat. Ada masa saya putus asa untuk meneruskannya.

"Ketika penyakit misteri belum pulih, timbul pula penyakit baharu apabila doktor mengesahkan ada batu karang sehingga memaksa menjalani pembedahan untuk membuangnya," kongsinya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: