18 September 2021

WAJAH AYASH AFFAN - SHUIB BELUM SEDIA DEDAHKAN



"Saya sangat memahami ramai nak lihat wajahnya memandangkan telah mengikuti kisahnya sejak dilahirkan tempoh hari. Usia Ayash sangat muda, dia bayi pramatang dan banyak benda yang perlu saya jaga. Saya sendiri tak tahu bila nak kongsi wajahnya.

"Ketika ini, saya ikut nasihat beberapa ustaz iaitu menangguh dulu perkongsian wajah Ayash untuk elak pelbagai perkara tidak baik seperti penyakit ain," demikian kata pelawak Shuib Sepahtu yang belum bersedia untuk berkongsi wajah anak bongsunya, Ayash Affan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak baik seperti penyakit ain.

Shuib bagaimanapun berkata, perkongsian wajah Ayash tetap akan dilakukan namun bukan dalam masa terdekat. Shuib memahami keterujaan ramai untuk melihat wajah hadiah terakhir isterinya, Allahyarham Siti Sarah itu.

Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhamad, 37, memberitahu Ayash yang kini berusia sebulan 10 hari sangat mudah dijaga dan tidak mempunyai terlalu banyak ragam. Dia turut menyifatkan hadiah terakhir peninggalan isterinya, Allahyarham Siti Sarah itu sebagai anak yang sangat hebat.

Klik untuk gambar besar



"Dia bayi yang sangat hebat dan mudah dijaga namun kini tetapi memerlukan penjagaan rapi seperti minum susu tiga jam sekali, di rumah tidak boleh ada asap atau terdedah dengan habuk.

"Semua itu kerana paru-parunya masih belum matang," ujarnya selepas majlis bacaan Yasin sempena 40 hari pemergiaan Allahyarham Siti Sarah malam semalam.

Bercerita lanjut, tambah pemilik jenama minum BubbleBee itu bersyukur kerana Ayash dikurniakan dua orang abang dan seorang kakak yang sangat mengambil berat.

"Hebatnya tiga beradik itu adalah kerana kasih sayang dan kematangan mereka menjaga Ayash. Jika Ayash sedang tidur, mereka tak akan buat bising dan nakal. Mereka juga sangat ambil berat dan tahu nak buat apa untuk adik mereka seperti waktu minum susu atau tukar lampin.


"Memiliki anak seperti mereka ialah satu nikmat yang Allah SWT beri ketika ini," tuturnya yang tidak mengupah mana-mana jururawat peribadi untuk menjaga Ayash buat masa ini.

Ayash dilahirkan pramatang secara pembedahan tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan wabak.

Selepas menerima rawatan selama lebih sebulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur, Ayash akhirnya dibenarkan pulang pada 14 September lalu.

Selain Ayash, Shuib dan Siti Sarah turut dikuniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: