14 October 2021

CEPAT PENAT & SUKAR BERNAFAS - BOB LOKMAN MASUK SEMULA CCU



"Saya kembali menginap di homestay bersama isteri, Relawati Daud dan dua anak yang menemani saya ke Kedah. Namun, semalam saya dikejarkan semula ke CCU kerana cepat penat dan sukar bernafas. Hasil pemeriksaan doktor, jantung saya sudah okay dan tiada masalah. Cuma, mungkin masalah di paru-paru pula. Sekarang, saya baru dimasukkan dua pek darah untuk menambah darah dalam badan serta perlu keluarkan air di paru-paru. Tengok dalam tiga hari lagi macam mana keadaannya, ada kurang atau tidak.

"Ia berikutan kaki kanan saya yang ditembak laser untuk rawatan jantung itu pun masih bengkak dan barangkali kesannya pada paru-paru hingga saya jadi cepat penat dan sukar bernafas," kata pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 57, yang memaklumkan dia dimasukkan semula ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam berikutan keadaan kesihatannya yang tidak stabil kerana cepat penat dan sukar bernafas.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia dibenarkan keluar dari hospital itu Ahad lalu selepas keadaan jantungnya yang menjalani rawatan laser pada 4 Oktober lalu didapati pulih. Bob berkata, doktor menjangkakan tahap kesihatannya akan baik sepenuhnya kira-kira enam bulan lagi dan perlu mendapatkan rehat yang cukup serta tidak boleh bekerja.

Katanya, dia juga ada menerima kunjungan pihak Muslim Care Malaysia di homestay beberapa hari lalu untuk mendapatkan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi mengumpul dana buatnya menerusi sumbangan orang ramai ke akaun Muslim Care Malaysia (Bank Rakyat - 1101744599).

"Saya mohon doa dan sumbangan daripada anda untuk membantu saya yang susah ketika ini. Keadaan kesihatan saya memang tidak mengizinkan untuk bekerja dalam tempoh yang lama. Saya kena berehat dengan cukup serta pernafasan pulih semula. Setakat ini pun, saya sukar tidur kerana masalah pernafasan dialami. Apapun, kini saya berserah kepada Allah dan mohon diberikan kesembuhan kesihatan semula," jelasnya.

Sebelum ini, Bob juga terpaksa menunda beberapa kali temujanjinya bersama doktor untuk rawatan susulan jantung di hospital itu berikutan kes penularan Covid-19 yang tinggi. Terdahulu, Bob yang mengalami masalah jantung selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) pada awal Disember, tahun lalu di hospital yang sama.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: