17 October 2021

IBU TAK TAHU DIRINYA PERNAH POSITIF - ERMA FATIMA BERLAKON JADI 'DOKTOR'



Pelakon dan pengarah, Erma Fatima mendedahkan sehingga ke hari ini, ibunya iaitu Asmah Mohd Ali masih lagi tidak tahu bahawa dia pernah dijangkiti Covid-19 pada bulan lalu. Erma berkata, dia dan semua anggota keluarga cuba sedaya upaya menyembunyikan keputusan ujian calitan ibunya yang positif Covid-19 untuk menjaga emosi insan tersayang itu serta tidak mahu melemahkan semangatnya.

"Saya terpaksa pakai sut pelindungan diri (PPE) dan kononnya, main-main menjadi 'doktor' untuk pastikan ibu saya tak tahu bahawa dia positif Covid-19. Sampai ke hari ini, ibu saya sebenarnya masih tak tahu dia pernah positif Covid-19. Seminggu pertama, saya menjaga ibu di rumah dan mengambil risiko.

"Minggu kedua, baharu ibu saya dirawat di hospital, namun dia menyangka bahawa dirinya menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru dan bukan Covid-19. Selepas ibu sihat, ketika adik saya Betty Rahmad memuat naik berita mengenainya, dia masih lagi tak percaya terutama apabila dihubungi ramai sahabatnya yang bertanya khabar," katanya.

Berkongsi pengalaman menjaga ibunya yang positif Covid-19 pada ketika itu, Erma berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan sebenar dalam hatinya ketika itu. Menurutnya, dia tidak sanggup untuk mengurung ibunya di dalam bilik untuk menjalani kuarantin kendiri.

"Ya Allah, hanya Tuhan saja tahu. Bila adik lelaki saya dan isterinya perlu kembali bekerja di pejabat, saya minta Betty pula mengambil ibu dan bawa ke rumahnya. Empat hari kemudian, pembantu rumah Betty pula mengalami demam teruk dan disahkan positif. Bertambah risau kami sekeluarga dan ibu pun menjalani ujian Covid-19.

"Keputusan pula positif dan kami semua cuba sembunyikan daripada pengetahuannya. Saya pindahkan semua anak-anak dan pembantu rumah ke kediaman lain, dan bawa ibu tinggal bersama saya. Ibu saya jenis yang suka membaca sehinggakan pengetahuannya mengenai Covid-19 lebih banyak daripada saya. Jadi, saya tak mahu dia rasa tertekan dan terkurung.

"Jadi, saya tempatkan dia di ruang tamu serta lebih dekat dengan dapur, tandas dan dia pun boleh bergerak bebas. Saya layan dia seperti biasa sebab tak mahu dia tahu bahawa dia positif Covid-19. Saya pakai pelitup mulut sebab sut PPE memang tak sempat nak beli. Waktu makan, saya makan semeja dengannya," jelasnya.

Tambah Erma, ada suatu hari itu dia terpaksa memakai sut PPE kerana anaknya meminta supaya menjaga keselamatan diri sendiri. Erma berkata setiap hari, dia akan memeriksa kadar peratusan oksigen dan merekodkan semuanya.

Klik untuk gambar besar



"Apabila anak saya hantarkan PPE untuk dipakai, saya terpaksa fikirkan helah lain. Jadi, ibu saya tahu bahawa cita-cita saya sejak kecil ingin menjadi doktor. Maka, terpaksalah saya berlakon seperti seorang doktor dan memakai sut PPE. Pada masa sama, saya buat panggilan video dengan adik beradik lain, menunjukkan saya jadi 'doktor'.

"Saya akan periksa kadar oksigen ibu setiap hari dan rekodkan. Malah, setiap hari juga selepas seharian menjaga ibu dan membersihkan rumah, saya sendiri akan buat ujian kendiri dan rekodkan. Memang gementar juga setiap kali menunggu keputusannya. Tapi, saya perlu juga jalani ujian kendiri untuk keselamatan diri," ujarnya lagi.

Selepas seminggu pertama, kadar peratusan oksigen ibunya semakin menurun dan dia dinasihatkan agar membawa ibunya untuk dirawat di hospital. Bagaimanapun, Erma mengakui dia berasa sangat bersyukur kerana keadaan kesihatan ibunya semakin baik.

"Ibu saya adalah orang yang paling tak suka ke hospital atau berjumpa doktor. Jadi, selepas memujuk dan menjalani ujian X-Ray, memang virus itu sudah merebak sampai ke paru-parunya. Saya minta doktor dan semua jururawat supaya tidak memberitahu ibu bahawa dia positif Covid-19. Jadi, ibu saya anggap, dia ada jangkitan kuman dalam paru-parunya," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: