22 October 2021

JUMPA PAKAR PSIKIATRI SETIAP MINGGU - SCHA ELINNEA ALAMI GANGGUAN MENTAL KRONIK



Pelakon Scha Elinnea mengakui dia perlu berjumpa pakar psikiatri setiap minggu sejak Jun lalu, selepas mengalami gangguan mental kronik. Jelas pelakon drama 'Sitik Tok' itu, dia terpaksa merahsiakan penyakit dialami itu selama ini.

Scha atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 22, menjelaskan bahawa dia sudah lama berdepan situasi ini. Menurut Scha, masalah itu berpunca disebabkan kemurungan teruk yang dialami.

Ditambah pula dengan situasi semasa pandemik COVID-19 membuatkan dirinya banyak berfikir bukan-bukan. Scha berkata, dia perlu mengambil ubat yang disarankan doktor mengikut tetapan masa setiap hari.

Klik untuk gambar besar



"Ikutkan memang sudah lama sebenarnya saya berdepan dengan masalah ini. Mungkin juga ditambah dengan situasi semasa pandemik Covid-19 membuatkan saya banyak berfikir yang bukan-bukan. Cuma selama ini ia masih boleh dianggap terkawal. Hanya kebelakangan ini, ia menjadi agak teruk. Nak tidur pun boleh jadi sukar.

"Saya sampai tahap rasa takut dan cemas apabila berjumpa ramai orang. Malah lebih membimbangkan, kalau saya duduk seorang diri, perasaan bimbang itu menjadi-jadi. Takut hingga boleh menangis bersendirian.

"Ubat memang tak boleh tinggal. Jika tidak perkara sebaliknya akan terjadi. Doktor pun pesan, kena makan ubat sebagai langkah berjaga-jaga daripada sebarang perkara tak diingini berlaku.



"Saya cuba nampak kuat walaupun hakikatnya berperang dengan kesakitan dalaman. Lama-kelamaan saya rasa tak boleh simpan dan pendam lagi. Saya harus jujur dan maklumkan masalah ini. Bagaimanapun pendedahan ini bukan untuk membebankan sesiapa," ujarnya yng turut memberitahu dia akan memastikan janji temu dengan doktor setiap minggu dipenuhi.

Tambahnya lagi, sebagai langkah berjaga-jaga, teman baiknya datang menemani di rumah kerana jika dia duduk sendirian, perasaan itu akan menjadi-jadi sehingga boleh menangis sendirian.

"Selama ini, saya tinggal sendirian. Dengan situasi sekarang, saya perlu ditemani kawan. Saya juga kena makan ubat yang disarankan doktor setiap hari," jelas gadis kelahiran Kelantan itu yang turut mengaku mengambil ubat penenang jika ada komitmen kerja termasuk penggambaran drama. Scha turut cuba untuk tampil kuat, walaupun hakikatnya berperang dengan sakit dalaman itu.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: