02 October 2021

"PERASAAN GEMBIRA SAYA SUKAR DIGAMBARKAN" - YASSIN KINI KEMBALI BERAKSI



Selepas hampir dua tahun, pelawak Yassin Yahya, 43, mengakui gembira apabila dapat kembali beraksi di khalayak umum. Yassin berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, dia menggunakan kelebihan yang ada padanya dengan mencari rezeki menerusi media sosial.

"Ini adalah persembahan pertama saya selepas kebenaran bekerja diberikan oleh kerajaan. Perasaan gembira saya sukar digambarkan. Semasa PKP saya melakukan aktiviti ulasan produk membantu usahawan yang baru nak naik dan belum ada platform. Jadi saya bersama mereka saling membantu satu sama lain.

"Bayaran yang dikenakan saya pun mengikut harga PKP juga yang dikategorikan mampu milik dan kasih sayang," katanya ketika ditemui media pada majlis pembukaan semula Sudirman Cafe di Koptown EDC Hotel, Jalan Raja Laut, di sini.

Selain Yassin, Saiful Apek dan Ain Sufia turut bersama mengadakan persembahan pada majlis berkenaan. Menurut Yassin, ketika pandemik bermula dia berada di Johor dan menubuhkan produksi sendiri iaitu Yasstar Production untuknya bergerak.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, sehingga kini hampir 50 produk termasuk gerai, produk sendirian dan mereka yang memperkenalkan kedai dan produk dibantu ikut pengalaman yang saya ada. Semuanya dikongsi di Instagram sehinggakan bulan lepas saya disahkan positif Covid-19 dan kena kuarantin selama 20 hari.

"Dari situ juga datangnya ilham untuk saya buat panggilan video kepada anggota Senario yang lain. Dalam video itu saya terfikir kenapa tak buat sesuatu sebelum Senario muncul semula sempena 25 tahun ditubuhkan. Jadi kami wujudkan platform Sembang Santai bersama dengan ahli Senario yang lain. Kami ada saluran sendiri Senario Reunion di YouTube," katanya.

Menurutnya program Sembang Santai ini bersiaran setiap Sabtu dari jam 10 hingga 12 malam: "Saya mengharapkan peminat yang belum tahu agar mengikuti saluran ini. Kami akan buat kemunculan semula menerusi program sitkom di TV9. Mereka dengan perancangan mereka, manakala kami dengan perancangan sendiri.

"Sekiranya jadi, ia satu bonus buat kami. Program di saluran kami memang akan ada setiap minggu. Ia membabitkan semua ahli Senario termasuk Ilya dan Hamdan," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: