23 October 2021

SELAGI MASIH BERNYAWA - LISDAWATI AKAN TERUS MEMAAFKAN & BERI PELUANG KEPADA SUAMI



Biarpun pelakon Fauzi Nawawi, 48, sering dihambat kontroversi sepanjang hidup bersama selama 14 tahun, pelakon Lisdawati, 43, akan terus memaafkan dan memberi peluang kepada suaminya, selagi nyawa di kandung badan. Baginya, tiada manusia yang dilahirkan sempurna dalam muka bumi ini, jadi peluang harus diberikan, lebih lagi, kepada insan yang berhasrat berubah ke arah kebaikan.

Namun, ia bukan bermakna Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin menyokong dan menelan sahaja setiap kesalahan dilakukan suaminya. Sebaliknya, katanya, sebagai isteri, dia perlu berada di sisi suami pada saat suka dan duka. Tidak berkecil hati, Lisdawati menganggap tanggungjawabnya selesai kerana sudah pun memohon maaf secara peribadi dan mengakui kesilapan dilakukan Fauzi.

Keterlanjuran kata-kata Fauzi apabila berkongsi pengalaman melakonkan adegan 'panas' membabitkan Raja Farah menerusi filem 'Anak Halal' arahan Osman Ali pada 2007 turut memberi tempias kepada Lisdawati dan anak-anaknya. Ramai warga netizen tidak berpuas hati apabila pelakon filem 'KL Menjerit' itu tenang dan mempertahankan suaminya.

"Saya tidak terkejut apabila sedutan video dalam program bual bicara itu tular. Suami pernah meluahkan perasaan keterlanjurannya terlepas cakap dan kongsi cerita babak panas dalam filem 'Anak Halal'. Saya akui suami melakukan kesilapan dan tidak sepatutnya berkongsi kisah berkenaan. Salah tetap salah.

"Saya sanggup merendahkan diri memohon maaf bagi pihak suami kepada Raja Farah dengan dua kali menghantar mesej langsung dalam Instagram (IG), namun, malangnya, hanya dibaca tanpa sebarang respon. Ketika kontroversi tercetus, suami menjalani penggambaran di Port Dickson, Negeri Sembilan, manakala saya pula di Kuala Terengganu. Apabila ia heboh diperkatakan, saya menonton video yang tular. Saya beritahu suami dengan cara paling berhemah, apa yang dilakukan adalah salah.

Klik untuk gambar besar



"Menyedari kesilapannya, suami terus menghantar mesej mohon maaf, disusuli dengan permohonan maaf secara terbuka. Saya juga menghantar mesej secara peribadi kepada Raja Farah, keesokan hari. Namun, mesej dihantar hanya dibaca. Menerusi mesej, saya merendah hati memohon kepada Raja Farah atas kesilapan dilakukan suami. Pada masa sama, saya meminta jasa baiknya menutup ruangan komen bagi meredakan keadaan.

"Namun, sehingga hari ini, tiada maklum balas diterima. Namun, saya anggap Raja Farah sudah menerima permohonan maaf kami. Saya berterima kasih kepada Raja Farah dan suami kerana sangat menghormati Fauzi kerana sudi menerima permohonan maaf walau dengan apa cara sekalipun dengan ikhlas," kata Lisdawati.

Dalam pada itu, Lisdawati berkata, dia memadam dan menyekat komen negatif dalam IG bukan bermakna mahu menyokong suami dan tidak mendengar pendapat netizen. Apabila ditanya sampai bila akan terus memaafkan suami memandangkan Fauzi tidak pernah sunyi dengan kontroversi, Lisdawati berkata, dia akan terus memberikan peluang kepada suami selagi masih bernyawa.

"Ada yang cakap saya sombong disebabkan kerap berkongsi ayat berunsur Islamik dalam IG. Apa sebenarnya yang netizen mahu saya lakukan? Adakah mereka mahu lihat saya memarahi suami? Bagi saya, apabila ahli keluarga melakukan kesalahan, takkanlah kita hendak membuang mereka? Lagipun, suami sudah mengakui kesalahan dan kesal dengan perbuatannya. Suami juga sudah meminta maaf secara terbuka, jadi tidak perlulah isu ini dipanjangkan lagi.


"Jika ada dikalangan ahli keluarga melakukan kesalahan, tidak perlulah membebel dari pagi hingga malam. Takkanlah setiap hari mahu membebel, sebaliknya berilah peluang untuk membetulkan kesilapan. Allah mengetahui segala-galanya. Jika fikir baik-baik, maka baiklah jadinya. Saya anggap semua yang berlaku adalah aturan Allah, mungkin itu cara Allah hendak menegur dan menjentik hati Fauzi dan individu yang terbabit dalam program ini.

"Saya tidak mahu menuding jari menuduh sesiapa, mungkin rentetan kesilapan ini, mereka menjadi insan lebih baik. Saya akui, ini aib yang terbuka, tetapi Allah sebenarnya hendak menguji bagaimana netizen memberi reaksi terhadap isu ini. Kita selalu dengar ustaz memberi nasihat, orang bijak dan beriman akan menutup keaiban orang lain, sebaliknya pula bagi orang yang bertentangan.

"Ada netizen terlalu gigih mencipta akaun palsu semata-mata untuk mencaci hina kami. Lebih menyedihkan, ada berpurdah dan bertudung seperti ustazah, tetapi imej tidak selari dengan tutur kata. Sebagai wanita, siapa tidak terasa apabila dicemuh, setiap hari? Saya ada hati dan perasaan, saya berhak untuk memaafkan netizen yang menghina atau tidak.

"Saya bukan nabi dan masih terlalu banyak kekurangan dalam diri. Kenapa tidak mendoakan perkara baik-baik sahaja. Memaafkan itu senang, tetapi saya menyerahkan segala-galanya pada Allah. Bagaimanapun, saya bersyukur menerima mesej positif dan ada juga yang memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata mereka itu.

"Netizen mengeluarkan caci maki menjadi cerminan diri sendiri. Saya kagum mereka ada masa menasihatkan orang lain, tetapi tidak melihat keluarga sendiri. Bukankah lebih baik melihat kesalahan keluarga sendiri sebelum sibuk mencari kesalahan orang lain. Kalau hendak menasihat sekalipun, biarlah dengan cara betul. Dan, jika betul mahu menasihatkan suami saya, nasihat sendiri kepadanya bukan pada saya," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: