04 November 2021

BERHIJAB SEJAK RAMADAN LALU - APRENA MANROSE MASIH 'KUNCI MULUT', RISAU IMAN TURUN NAIK



"Jika boleh, saya tidak mahu terlalu menguar-uarkan mengenai perubahan imej (berhijab). Biarlah orang nampak dan nilai, asalkan bukan datang daripada mulut saya. Bukan apa, saya bimbang andai berubah hati, sedangkan saya sibuk berkongsi mengenai perubahan diri. Untuk kekal istiqamah bukan mudah.

"Lagipun, saya hanya manusia biasa, masih belajar dan berubah secara perlahan-lahan. Saya risau iman turun naik, jadi lebih baik tidak berbicara secara terbuka. Biarlah perjalanan penghijrahan ini nampak perlahan. Apa yang boleh dikatakan, saya masih belajar untuk menjadi insan yang lebih baik.

"Secara kebetulan, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ramadan lalu. Oleh kerana tidak terikat dengan penggambaran, saya mengambil peluang belajar berhijab. Sepanjang sebulan, saya akan berhijab jika hendak ke mana-mana. Pada Syawal, saya rasa lain macam apabila tidak bertudung ketika mengambil gambar bersama suami dan keluarga.

"Jadi, saya menyarungkan tudung ketika bergambar. Namun, saya masih terikat dengan beberapa tawaran lakonan yang diterima sebelum berhijab. Nak atau tak nak, saya kena tepati perjanjian yang dipersetujui lebih awal. Allah permudahkan perjalanan saya berhijrah. Setakat ini, apabila saya beritahu mahu memakai tudung ketika penggambaran, tidak siapa membantah.

Klik untuk gambar besar



"Saya percaya apabila ada niat mahu berubah, Allah jentik perasaan insan di sekeliling saya. Semua ini juga berkat sokongan ayah dan suami yang tidak putus-putus berdoa agar saya terbuka hati berhijab. Jadi, perasaan saya makin kuat mahu berubah," ujar pelakon Aprena Manrose, 28, yang dijentik pintu hati untuk berubah sepenuhnya dengan mengenakan hijab, sejak Ramadan lalu.

Sungguhpun begitu, pelakon yang melonjak populariti menerusi drama 'Tiada Arah Jodoh Kita' itu enggan terlalu berkongsi mengenai perubahan dirinya. Hingga kini, Aprena masih mengunci mulut biarpun semakin selesa berkongsi foto berhijab dalam laman Instagram (IG).

Secara jujurnya, anak bongsu pasangan selebriti, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan bekas penyanyi dangdut, Iwan itu berkata, dia kurang selesa apabila diajak berbicara mengenai penghijrahannya. Sebaliknya, mahu peminat menyedari perubahan imejnya tanpa perlu mencanangkan kepada khalayak.



Lima tahun bergelar isteri, namun belum dikurniakan zuriat, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akui, sudah penat menjawab persoalan mengenainya. Bagaimanapun, Aprena tidak sesekali melenting, biarpun hatinya sedikit terguris.

Bukan tidak mencuba, Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, pernah mendedahkan menjalani rawatan kesuburan pada Jun lalu. Namun, buat masa ini, belum bersedia berkongsi secara terperinci mengenai proses rawatannya.

"Saya ada menjalani rawatan kesuburan ketika PPN ketika kerja penggambaran dihentikan. Jadi, saya mengambil peluang untuk menjalani rawatan. Allah juga menyusun cantik perjalanan hidup saya.

"Sebaik pelaksanaan PPN berakhir, rawatan itu juga selesai, jadi saya boleh kembali bekerja. Tetapi, saya belum bersedia bercerita secara terperinci. Insya-Allah, saya akan berkongsi apabila tiba masa yang sesuai," kata isteri kepada Mohd Afiq Hazman itu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: