10 December 2021

AH FAD (RAIHAN) BERANSUR PULIH DARI SERANGAN ANGIN AHMAR



"Syukur, Allah susun atur semuanya dengan baik apabila ramai yang datang memberikan sokongan, selain menghulurkan bantuan sewajarnya," kata penyanyi nasyid, Ah Fad yang beransur pulih dari serangan angin ahmar sejak Sabtu lalu, selain bersyukur mendapat kata-kata semangat dan bantuan daripada rakan-rakannya.

Ah Fad, 37, atau nama sebenarnya Zulfadli Mustaza yang pernah menganggotai kumpulan Raihan itu berkata, sejak dibenarkan pulang ke rumah dia tidak putus-putus dikunjungi tetamu yang bertanyakan khabar.

"Saya tiada masalah untuk terima kehadiran mereka kerana tujuan mereka baik. Mereka akan hubungi saya terlebih dulu sebelum datang dan isteri akan maklumkan sama ada boleh atau tidak," ujarnya.

Menurut Ah Fad, selain rakan-rakan, antara yang menziarahnya ialah wakil dari Majlis Usahwan Nasyid Malaysia (Munsyid) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Pada 25 November lalu, Ah Fad dimasukkan ke zon merah Hospital Selayang selepas mengalami kebas kaki dan tangan kanan serta tidak boleh bergerak sebelum ditempatkan di wad biasa dua hari kemudian. Menurutnya, semasa rawatan dia juga mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan besar.

"Alhamdulillah doktor dan kakitangan hospital memberikan rawatan sewajarnya. Usaha mereka berhasil dan selepas saya boleh buang air kecil dan besar barulah keadaan saya okey.

"Saya turut dibekalkan dengan tiga jenis ubat darah tinggi dan ubat gastrik. Saya kini perlu jaga kesihatan sebaik mungkin dari segi pemakanan dan cukup rehat. Saya juga buat urutan tradisional dan alhamdulillah kaki serta tangan dah boleh angkat. Tak sangka prosesnya cepat juga," jelasnya.

Ah Fad berkata, aktiviti seninya dihentikan buat sementara waktu sehingga dia benar-benar pulih: "Saya tak pasti nak rehat berapa lama. Suara saya pun belum sama seperti dulu dan ia faktor saya kena rehat. Tengoklah bila dah sembuh baru saya aktif semula.

"Ada beberapa program yang sudah dipersetujui sebelum ini seperti mengendalikan majlis perkahwinan hujung minggu ini, namun ia diambil alih oleh isteri saya, Nurul Sakinah Ibrahim manakala saya hanya membantu. Syukur Allah masih bagi rezeki menerusi cara ini. Mudah-mudahan selepas ini saya sihat semula seperti sediakala," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: