10 December 2021

MOHON MAAF ISU BERLAKON WATAK GAY - DANISH ISKANDAR SERAH KEPADA PEGUAM



Pelakon Danish Iskandar, 17, yang berlakon dalam drama bersiri 'Stay Away From Me' dimana ia mengetengahkan perlakuan gay itu tampil membuat permohonan maaf dan menafikan dia menyokong perbuatan homoseksual seperti yang dipaparkan dalam drama berkenaan.

Danish juga turut mengakui dia masih naif sebagai pendatang baru dalam industri hiburan tanah air. Tambah Danish, dia menyerahkan semua urusan berkaitan perundangan kepada peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

"Saya ingin memohon maaf atas kekhilafan dan isu yang tercetus. Kami tidak menyokong sama sekali perbuatan yang ditularkan. Ini adalah kenaifan saya sebagai orang baru dalam industri hiburan.

"Di masa akan datang, kami akan lebih berhati-hati dalam meneliti perkara-perkara membabitkan tawaran lakonan. Saya bertindak untuk tidak mengambil kisah kerana saya tahu perkara sebenar. Saya serahkan semuanya kepada pihak peguam," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, insiden itu turut mengganggu fikirannya memandangkan dia sedang menjalani peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM): "Apa yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu mental saya memandangkan saya juga sedang menjalani peperiksaan. Jadi, saya cuma ikut saja perjalanan yang ditetapkan," jelasnya.

Sementara itu, bapanya, Muhammad Burhanuddin turut mengakui kecuaiannya dalam meneliti tawaran lakonan anaknya: "Saya terkhilaf juga. Sebelum ini, pihak kami ada menerima beberapa tawaran lakonan untuk karya-karya yang ditayangkan di Facebook dan platform dalam talian, tapi tak ada isu.

"Ini adalah kali pertama isu sebegini berlaku dan kepada bakat-bakat baru, saya rasa semua perlu lebih berhati-hati," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Selain Danish, dua lagi pelakon drama kontroversi itu iaitu Rees Ayman dan Hardy Saiful turut memberikan kenyataan permohonan maaf di majlis itu. Mereka bertiga juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini dan bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak produksi drama berkenaan berkaitan isu moraliti.

Terdahulu, drama itu mencetuskan kontroversi apabila menayangkan jalan cerita serta babak-babak yang mengangkat kisah homoseksual dan ditayangkan di aplikasi untuk golongan itu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: