18 December 2021

BANJIR : 'LINE' TELEFON RUMAH AFIEQ PUTUS - ZAITON SERONOK MENYANYI DI TENGAH AIR



Rumah dilanda banjir... Demikian yang dihadapi oleh dua artis kita iaitu penyanyi Afieq Shazwan dan Zaiton Sameon apabila kediaman mereka dinaiki air.

Difahamkan, rumah Afieq mula dinaiki air sejak tengah malam tadi. Dalam beberapa hantaran di Instagram Story, kelihatan rumahnya yang didiami bersama ibunya mula dimasuki air di beberapa bahagian.

"Nampak gayanya, tak tidurlah saya dengan mama berdua," katanya dalam video dimuat naik, selain berkongsi keadaan terkini di mana liputan telefonnya juga semakin terhad akibat banjir.

"Saya nak beritahu, saya di rumah tak ada 'line'. Saya sekarang keluar pergi bungkus makanan sebab saya berdua sahaja dengan mama. Kalau ada sesiapa yang WhatsApp, saya tak dapat nak baca dan tengok sebab di rumah dah macam gua.

Klik untuk gambar besar



"Jadi, saya kena keluar jauh lebih kurang tiga hingga empat kilometer baru ada 'line'. Itulah dia dan air tak surut lagi," tambahnya.

Sementara itu, penyanyi veteran, Zaiton Sameon turut mencuri perhatian ramai pengikut di aplikasi TikTok apabila memuat naik video menyanyikan lagu popularnya, 'Kabut Serangkai Mawar' di tengah kawasan banjir yang melanda kediamannya.

Zaiton ketika dihubungi berkata, itu adalah kali pertama kawasan kediamannya yang terletak di Kapar, Klang dilanda banjir. Jelas Zaiton yang menetap bersama keluarga angkatnya, dia menyedari kediamannya dimasuki air sejak jam 3 pagi, hari ini.



"Disebabkan ini kali pertama banjir di kawasan ini, saya macam teruja dan seronok juga. Itu yang saya seronok berenang dan rakamkan video di TikTok.

"Saya menyedari rumah saya dimasuki air sejak jam 3 pagi tadi. Mujurlah di rumah ini, saya tinggal bertiga bersama adik angkat dan anak angkat saya.

"Jadi, dapatlah kami bertungkus lumus mengangkat dan menyelamatkan barang dengan memindahkan ke bahagian rumah yang lebih tinggi," ujarnya.

Dalam video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Zaiton sedang duduk di atas konkrit yang dikelilingi air banjir. Lengkap berpayung putih, Zaiton yang tampil ringkas dengan kemeja-T serta seluar panjang hitam menyanyikan semula lagu popularnya itu secara 'miming', lengkap dengan gaya ala-ala membuat persembahan.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: