10 December 2021

MINTA DIRAHSIAKAN KEADAAN KESIHATAN, TAK BENAR MELAWAT - ARWAH GMIE PESAN JAGA IBU, KELUARGA



"Saya sebenarnya dah lama tahu yang Gmie sakit, cuma waktu itu dia tak war-warkan pada orang ramai dan minta kami rahsiakan perkara tersebut. Ramai kawan-kawan yang nak datang berjumpa dengannya, tetapi dia tak benarkan sesiapa datang melawat sebab tak nak kawan-kawan susah hati kerana dia.

"Saya pegang janji itu sampailah dapat berita 2.30 pagi tadi (Jumaat) yang dia telah meninggal dunia," demikianlah kata Amy Ukays yang memberitahu dia mengetahui keadaan kesihatan arwah kawan baiknya, Gmie Screen, merosot sejak sebulan lalu namun meminta perkara itu dirahsiakan daripada umum.

Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim menghembuskan nafas pada pukul 2.30 pagi tadi pada usia 50 tahun akibat penyakit buah pinggang berlubang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Berita sedih pemergian bintang Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) ini memberi kesan mendalam kepada semua yang mengenalinya. Allahyarham meninggalkan isteri, Siti Royani Gumari dan lima anak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Medan Sijangkang, Selangor kira-kira 10.30 pagi Jumaat. Antara rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Nizam Laksmana, Zamani Slam, Hadi Fashla, Wan Screen, Zack Budak Kaca Mata dan Ali Terrarossa.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, arwah Gmie sempat meninggalkan pesanan terakhir kepada anaknya agar sentiasa menjaga ibu mereka sekiranya dia telah tiada di dunia ini. Hazim Syahmi, 19, berkata, pesanan itu dititipkan ketika arwah ayahnya itu berada di rumah mereka di Jalan Aman Kampung Medan, Banting.

Jelas anak ketiga daripada lima beradik itu, arwah bapanya pada awalnya mengalami jangkitan kuman di kaki dan disyaki oleh doktor disebabkan masalah buah pinggang.

"Selepas menerima rawatan, papa (panggilan Gmie) boleh berjalan dengan menggunakan tongkat namun kesihatannya merosot sejak tiga bulan lalu hingga dimasukkan ke hospital. Sebelum dimasukkan ke hospital, papa mengingatkan agar menjaga mama, Siti Royani Gumari, 48, dan keluarga. Itu pesanan paling diingati dan seolah-olah papa mengetahui akan meninggalkan kami," tuturnua ketika ditemui di tanah perkuburan Kampung Medan hari ini.


Sementara itu, pengurus arwah, Fuad Syahrin Misbah berkata, Allahyarham hadir dalam mimpinya pada malam Jumaat sebelum dia menerima berita meninggal dunia. Katanya, dalam mimpi itu, arwah berbaju serba putih dan berada dalam keadaan sihat sambil meminta menyampaikan pesanan kepada kawan-kawan.

"Malam tadi sebelum saya dapat berita dia meninggal dunia sebenarnya saya ada mimpikan dia. Dia datang dalam mimpi dalam keadaan bersih dan tak nampak sakit pun. Dia minta saya tolong sampaikan salam kepada kawan-kawan, selepas itu saya terjaga dan baca WhatApps yang dia sudah pergi," ujarnya.

Fuad yang bekerja dengan Gmie sejak 2016 menyifatkan Allahyarham seorang yang baik dan tidak pernah menyakitkan hati orang lain: "Saya kerja dengan dia sejak GV3 tapi kami saling mengenali pada tahun 90 lagi, dia seorang yang sangat baik dan sentiasa gembira," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: