01 December 2021

SANGGUP BERHABIS WANG BAYAR GURU VOKAL - NABILA BERSYUKUR NYANYIAN 'LIVE' KINI DIPUJI



"Kalau dulu saya banyak terima komen negatif daripada positif, tapi sekarang lebih banyak komen positif pula yang diberikan. Mungkin orang luar nampak perubahan ketara dalam nyanyian, kerana saya memang tidak henti perbaiki kualiti nyanyian dan kerja. Saya selalu pegang dengan prinsip 'tak mati dek keji, tak hidup dek puji'.

"Saya buat semua ini bukan untuk orang lain, tapi diri sendiri. Sejujurnya sejak kejadian nyanyian terkucil itu, saya memang berterusan pergi kelas vokal. Saya tak putus pergi kelas vokal boleh dikatakan hampir setiap hari terutamanya bila ada acara yang memerlukan saya menyanyi secara live. Saya juga sanggup berhabis wang untuk bayar guru vokal supaya dapat menjadi lebih baik.

"Sebagai manusia kita pasti ada banyak kekurangan. Alhamdulillah, persembahan saya malam tadi dapat memperlihatkan perbezaan kepada penonton sekali gus berjaya meresapkan apa yang diajar oleh guru vokal selama ini. Jujur cakap nak mengatasi masalah gugup atas pentas memang susah. Lagi pula sekarang ini penyanyi kekurangan tawaran persembahan kerana pandemik, jadi makin kuranglah latihan.

Klik untuk gambar besar



"Kalau dulu boleh dikatakan setiap minggu saya memenuhi tawaran persembahan dan berada dalam zon selesa, tapi selepas hampir setahun tak beraksi dan ditambah pula dengan harapan tinggi untuk single baharu ini, saya makin gemuruh tapi cuba juga buat sebaik mungkin. Walaupun tak dapat lawan perasaan gugup itu sepenuhnya, tapi saya cuba perlahan-lahan.

"Saya yakin berkat usaha keras yang tidak putus dibuat selama ini pasti akan membuahkan hasil untuk saya nanti," ujar penyanyi Nabila Razali, 29, yang meluahkan rasa syukur dan terkejut apabila nyanyiannya untuk single terbaharu, 'Putus' pada program MeleTOP yang bersiaran secara langsung di Astro Ria malam tadi mendapat maklum balas positif dan pujian daripada orang ramai yang rata-rata melihat perubahan pada persembahannya itu.



Tahun lalu, persembahan nyanyian Nabila 'terkucil' menerusi lagu 'Peluang Kedua' sewaktu menjayakan program Meletop Mega Raya Ria dan serta-merta dia menjadi perbualan warganet. Rata-rata netizen mempertikaikan kemampuan nyanyiannya. Lebih mengejutkan lagi, persembahan Nabila di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Mac lalu sekali lagi dikritik apabila dia berterusan 'terkucil lagi' ketika menyanyi secara langsung.

Sementara itu, ditanya masih ada komen negatif daripada segelintir pihak, Nabila berkata, dia menghargai komen-komen yang banyak membantunya memperbaiki diri: "Ada juga komen negatif tapi sekarang banyak yang komen positif, saya happy orang nampak kemajuan saya. Bagi yang sengaja cari salah pun saya hargai mereka, saya terima semua kritikan dengan hati terbuka," jelasnya.

Nabila baharu sahaja melancarkan single berjudul 'Putus' hasil karyanya bersama komposer Singapura Irwin Purnama. Lirik video lagu berkenaan sudah dilancarkan 13 November lalu dan kini sudah mencecah 800,000 tontonan. Lagu berkenaan juga sudah boleh didengari di semua platform digital dan striming.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: