22 December 2021

SIMPATI NASIB MANGSA BANJIR, PUNCA ZAHID RAHSIAKAN PERKAHWINAN KEDUA



"Saya juga tidak berniat untuk merahsiakan pernikahan ini kerana saya sangat bersimpati dengan nasib mangsa banjir. Jadi saya ambil masa untuk umumkan kepada orang ramai.

"Semasa pernikahan berlangsung ada kenalan dan ahli keluarga yang memuat naik gambar dan video, cuma saya memilih untuk kongsikannya malam tadi," itulah jelas penyanyi Zahid Baharudin, 41, berhubung perkahwinan kali keduanya yang dirahsiakan sebelum ini.

Difahamkan, Zahid menamatkan zaman duda dengan wanita pilihan hati bernama Nurul Shuhada Osman, 26, dengan sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM2,000 dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Terapung Tanjung Bungah, Pulau Pinang jam 10.30 pagi Ahad lalu.

Tambah Zahid, dia mengenali Nurul kira-kira tiga tahun lalu ketika sedang membuat persembahan 'busking'. Dalam masa sama, Zahid memberitahu, tarikh pernikahan pada 19 Disember itu turut jatuh pada hari kelahirannya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Zahid, dia mengakui berfikir panjang untuk memegang gelaran suami buat kali kedua dan berharap ikatan rumah tangga yang baru dibina akan berkekalan hingga akhir hayat.

"Saya mengenali Nurul ketika dia menjadi penonton untuk sebuah persembahan saya kira-kira tiga tahun lalu. Bertitik-tolak dari situ, hubungan kami semakin serius dan nekad untuk melangkah ke fasa seterusnya. Alhamdulillah, Ahad lalu kami sah bergelar suami isteri.

"Perkahwinan kali kedua ini saya memang ambil masa nak buat keputusan. Beberapa kali saya bertanya kepada isteri mengenai keputusan yang bakal dibuat. Alhamdulillah dia sedia menerima saya seadanya. Cuma menjelang hari pernikahan banyak dugaan yang berlaku memandangkan proses pernikahan sewaktu musim pandemik ini sangat mencabar.

Untuk makluman, Zahid yang juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu bercerai dengan bekas isterinya, Sarah Julifa Yusof pada 18 Julai 2019. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki Zareef Nufael yang kini berusia tujuh tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: