01 December 2021

DILEPAS TANPA DIBEBASKAN TUDUHAN LANGGAR SOP - PEGUAM KATA TAK PATUT DIPANJANGKAN APATAH LAGI NEELOFA HAMIL



Berhubung tuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu, Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepas tanpa membebaskan selebriti Noor Neelofa dan suami pendakwah bebas dan pelakon, Pencetus Ummah (PU) Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail daripada tuduhan tersebut.

Keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling menarik balik semua pertuduhan. Bagaimanapun mahkamah menetapkan 21 Disember ini bagi membuat keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh berkenaan. Neelofa yang hadir dengan berjubah biru dan manakala PU Riz berbaju sut biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada jam 9.30 pagi.

PU Riz didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB, tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu. Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Sementara itu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah berkata, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Neelofa.

"Pihak pendakwaan juga sudah menerima dokumen representasi yang kita dikemukakan sebelum ini dan Peguam Negara sudah bersetuju bahawa perkara ini bukanlah begitu besar tetapi dibesar-besarkan.

"Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok (norminal amaun) dan selepas kita bayar kita datang balik, sebab kompaun bukan sesuatu perintah yang sama dengan didapati bersalah. Ia neutral tidak ada rekod langsung.

"Kita akan kembali di sini pada 21 Disember nanti untuk keputusan dilepaskan dan dibebaskan. Sungguhpun ketiga-tiga tuduhan itu kita boleh lawan dan mungkin dengan senang kita boleh menang, tapi ia akan berlarutan," katanya.

Peguam itu berkata lagi, perkara itu tidak harus dipanjangkan atau berlarutan apatah lagi dengan keadaan Neelofa yang sedang hamil dan tidak sesuai kes berkenaan terus berjalan. Dalam pada itu, beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan kadar kompaun yang akan dikenakan namun menjangkakan ia adalah rendah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: