22 January 2022

9 TAHUN BERSTATUS IBU TUNGGAL - SYURA BADRON KINI SELAMAT NIKAH KALI KEDUA



Alhamdulillah... tahniah diucapkan kepada penyanyi Syura Badron, 36, apabila dia kini selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, hari ini, sekaligus mengakhiri status ibu tunggal yang dipegangnya selama sembilan tahun.

Berita pernikaan Syura yang berlangsung di Masjid As Salam, Puchong, dekat sini, jam 12.30 tengah hari, hari ini disahkan isteri penyanyi Lan Solo, Shila Razlan yang juga rakan baik Syura.

"Syura sah bergelar isteri sekitar jam 12.30 tengah hari tadi (hari ini). Selepas hampir sembilan tahun bergelar ibu tunggal kepada tiga orang anak, akhirnya dia menempa kebahagiaan. Alhamdulillah, tahniah buat Syura dan suami yang dinikahkan di Masjid As Salam Puchong.

Klik untuk gambar besar



"Terima kasih Ya Allah untuk perjalanan panjang yang membahagiakan untuk sahabat dunia akhiratku ini. Panjang, sangat panjang. Syura layak untuk mendapat semua kebahagiaan ini," katanya.

Shila ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia belum dapat berkongsi butir lanjut mengenai identiti dan status suami Syura untuk memberi ruang kepada Syura untuk mengumumkan khabar gembira itu sendiri.

"Saya sendiri belum dapat berbual panjang bersama Syura, jadi tidak pasti butir mana yang boleh dikongsikan atau tidak. Pastinya Syura akan memuat naik perkongsian di media sosial tidak lama lagi. Syura dan suami sudah lama berkawan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan," ujarnya.



Sementara itu, cubaan media cuba menghubungi Syura tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.

Untuk makluman, Syura yang popular dengan lagu berentak irama Malaysia seperti 'Nazam Berkasih' dan 'Bakawali', berkahwin dengan Mohd Fadhly Md Yassin pada 29 Mac 2006. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 29 September 2014.

Kemudian, Syura dan bekas suaminya itu rujuk kembali pada 10 November tahun yang sama, namun pada 9 Ogos 2015, mereka bercerai buat kali kedua. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nurul Dania Irdani, 15; Nurul Qaisara Sofeadan Mu, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: