08 January 2022

KID SUKAR PADAM KENANGAN 30 TAHUN BERSAMA ARWAH ISTERI



"Kami sudah lama hidup bersama. Anak sulung pun kini sudah berusia 26 tahun, manakala, anak bongsu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak lama lagi. Jadi, sudah tentu pemergian arwah isteri satu kehilangan besar dan memberi impak kepada saya dan anak.

"Arwah banyak berkorban dan membantu dalam kerja penghasilan video muzik dan saluran YouTube kerana kepakarannya sebagai pereka grafik kanan selama 18 tahun di sebuah stesen televisyen.

"Kami amat memahami satu sama lain. Sampai satu tahap, saya tidak perlu menceritakan masalah, tetapi, arwah sendiri dapat hidu sekiranya berdepan kesulitan. Jika berada di mana-mana, hanya menerusi gerak mata arwah sudah tahu jika saya hendak beransur pulang. Begitulah istimewa arwah isteri," kata pemain gitar kumpulan rock 'otai' Search, Kid, 54.

Separuh jiwa Kid bagaikan terbang melayang pada saat pemergian isterinya, Allahyarham Noraznin Yusof, 55, pada 29 November, tahun lalu. Masakan tidak, hampir 30 tahun hidup bersama, berkongsi suka dan duka, namun, dalam sekelip mata arwah Noraznin meninggalkannya dan dua cahaya mata, Deanda dan Aaqil Naquidean.

Biarpun zahirnya kelihatan kuat, namun, sukar buat Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Mohammed Taib memadamkan segala kenangan bersama arwah isteri. Bukan sekadar bergelar seorang isteri, malah, arwah juga tulang belakang yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seni Kid.

Kongsi Kid, dia tidak menyerah kalah, sebaliknya, nekad mencari penawar buat arwah isteri ketika disahkan menghidap kanser. Malah, katanya, dia bersama arwah tekad berjuang hingga ke nafas terakhir.

"Alhamdulillah, Allah beri kesempatan selama setahun kepada saya untuk menjaga isteri. Saya bersyukur dapat berada di sisi arwah pada saat menghembuskan nafas terakhir. Sebelum pemergian arwah, saya sempat mengajak dua anak menjenguknya.

"Kami berada di hospital kira-kira jam 12 tengah malam dan menghabiskan masa bersama arwah selama lebih dua jam. Saya dan anak pulang jam 3.30 pagi. Namun, sejam kemudian, saya menerima panggilan telefon dari hospital memaklumkan isteri sedang nazak," katanya yang ditemui pada majlis pengumuman barisan baharu kumpulan Search, baru-baru ini.

Katanya, sebaik sampai, dia terus mengucup dahi dan memegang tangannya seperti kebiasaan yang dilakukan. Ditanya apakah pesanan terakhir ditinggalkan, Kid berkata, arwah berpesan agar menjaga anak dengan baik.

"Saya bisikkan kalimah syahadah dan katakan padanya, saya sudah memaafkan segala dosanya sama ada diketahui mahupun tidak. Saya turut memohon maaf kepadanya, arwah akhirnya pergi dengan tenang.

"Sewaktu arwah sedang sakit, dia sering berpesan agar saya menjaga anak dengan baik. Sepanjang sakit, saya selalu sedapkan hati dengan mengatakan saya akan pergi dahulu kerana tidak mahu arwah risau, walaupun saya tahu peluangnya hidup amat tipis.

"Apapun, saya bersyukur sempat menjaga dan berkhidmat untuk arwah. Sepanjang isteri sakit, saya tiada mood untuk buat apa-apa kerana ingin memberi sepenuh tumpuan kepadanya," kata Kid.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: